Friday, September 21, 2012

Sintaksis by Chomsky

Penerbitan buku Syntactic Structures (1957) dan The Aspects of Syntax (1965) oleh Chomsky telah membawa perubahan kepada dunia linguistik. Menurut Chomsky, bahasa adalah cerminan fikiran yang dipancarkan oleh akal. Chomsky mengandaikan bahawa akal manusia mengandungi satu set rumus yang berupaya menghasilkan ayat-ayat yang tidak terhad. Kertas kerja ini akan membicarakan tentang konsep rumus yang dikenali sebagai Rumus Struktur Frasa. Terdapat beberapa konsep yang mendasari Teori TG yang masih digunakan. Antaranya ialah konsep Struktur Dalamandan Struktur Luaran. SD adalah representasi sintaktik ayat yang bersifat abstrak dan berada pada tahap fikiran. Manakala tahap SL adalah tahap terakhir representasi ayat dalam TG yang menjadi input kepada Komponen Fonologi dan Komponen Logik. Pada tahap ini, struktur ayatnya mengalami transformasi.

            Nahu Struktur Frasa(NSF) terbahagi kepada dua iaitu versi awal dalam buku Syntactic Structure oleh Chomsky dan versi kedua ditulis dalam Aspects of the Theory of Syntax (Teori Standard). NSF terdiri daripada satu set rumus yang terhad sifatnya tetapi menghasilkan ayat yang tidak terhad jumlahnya. Rumus ini dikenali sebagai rumus struktur frasa berkonteks bebas dan ia mewakili komponen sintaksis pada peringkat SD. Sebagai contoh, andaikan seorang penutur mempunyai satu set rumus seperti contoh 1 ini iaitu A→FN-(INFL)-FK, FN→N-Penentu, FK→K, FK→K-FN, dan FK→K-KN-A. Komponen sintaksis pada SD juga ada satu set item leksikal seperti contoh 2 iaitu Penentu→(itu, ini), INFL→(akan), N→(budak, dia, kami, kucing, nasi), K→(makan, memberitahu, pergi, menangis). Contoh tersebut terdiri daripada satu unsur pada bahagian sebelah kiri dan boleh dikembangkan kepada satu rantaian unsur pada sebelah kanan.

            Untuk mengatasi masalah ini, Chomsky memperkenalkan kerangka subkategorisasi yang berfungsi untuk memberi spesifikasi kepada kategori sintaktik iaitu setiap item leksikal hanya boleh hadir dengan unsur-unsur tertentu. Sebagai contoh, kata kerja memberitahu akan mengambil FN sahaja sebagai pelengkap. Kata ini tidak boleh hadir sendirian maka kerangka subkategorisasinya ialah K,+[_FN-A]. Kita boleh menggambarkan proses yang berlaku melalui skema gabungan antara RSF dan Rumus Subkategorisasi dengan Leksikon dan Rumus Penyisipan Leksikal membentuk SD.
           
            Masalah utama RSF ialah bilangan tahap kategorinya yang terhad. RSF terbahagi kepada kategori kata dan kategori frasa yang  dilambangkan oleh label-label kategori seperti N(Kata Nama), K(Kata Kerja), A(Kata Adjektif), P(Kata Preposisi) dan lain-lain manakala kategori frasa pula dilabelkan dengan label seperti FN(Frasa Nama), FK(Frasa Kerja), FA(Frasa Adjektif), FP(Frasa Preposisi), dan lain-lain. Namun, tahap kategori ini tidak dapat menghuraikan unsur sintaktik kerana tidak mempunyai kategori pertengahan.
           
            Berdasarkan pendekatan ini, kita boleh mengandaikan bahawa struktur infermal FK bagi ayat Saya akan makan nasi di kedai itu boleh dibahagikan kepada Kata Kerja(makan), Frasa Nama(nasi) dan Frasa Preposisi(di kedai itu). Ketiga-tiganya terletak di bawah Frasa Kerja. Namun, hipotesis struktur mendatar itu bukanlah representasi yang tepat bagi menggambarkan hubungan antara K, FN, dan FP. Hal ini kerana, bentuk pro tidak boleh menggantikan keseluruhan FK dan ia tidak memenuhi syarat.
           
Masalah kedua RSF adalah ia set rumus yang terlalu berkuasa. Rumus yang dinyatakan ialah NP→V-VP dan VP→Det-N. RSF telah bercanggah dengan prinsip asas UG iaitu sesuatu nahu yang dihuraikan harus bersifat sejagat. Oleh itu, kita dapat menjelaskan dengan tepat bentuk nahu manusia yang munasabah dan menghuraikan teori pemerolehan bahasa pertama sedangkan NSF membenarkan bentuk rumus yang bebas konteks. Satu lagi kelemahan RSF ialah pertindanan antara RSF dan kerangka subkategorisasi.

            Terdapat penyelesaian yang dicadangkan oleh Chomsky dalam Remarks on Nominalisation(1970). Chomsky mengenal pasti tahap pertengahan dalam Teori X-berpalang. Tahap ketiga dikatakan lebih besar daripada kata dan lebih kecil daripada frasa. Kita boleh lihat pada contoh ayat Saya akan [[makan nasi] [di kedai itu]]. Makan nasi adalah FK dan di kedai itu ialah FP. Ayat tadi boleh dirumuskan dalam rajah FK diikuti Xˡ dan diikuti oleh unsur X² dan PP. X² diikuti oleh K dan FN. Rajah ini menunjukkan struktur dalaman bagi FK yang tertinggi sekali adalah X² dan ia boleh direpresentasi sebagai K”, diikuti oleh K’, diikuti K’  dan PP yang mana di bawah K’ ialah K dan FN. Sekarang, label baru diberi kepada X untuk membezakan FK yang tertinggi melalui cadangan Chomsky iaitu X’→X. Oleh itu, frasa kerja X² boleh dilabelkan sebagai K’(K-berpalang) dan FK tertinggi sebagai K”(K-dua palang).
           
            Berdasarkan masalah kedua, TS dan RSF adalah terlalu bebas. Masalah ini boleh diselesaikan melalui penerangan tentang Konvensyen X-Berpalang yang menunjukkan beberapa prinsip dan generalisasi iaitu setiap frasa harus ada nodus kepala dan memprojeksikan nodus frasa. Melalui konsep RSF, kita boleh menghuraikan hal ini dengan lebih lanjut. Kita lihat pada rumus 21 iaitu a]1) N”→{Klasifier}-N’, a]2) N’→N-FP, b]1) K”→{Adverbial}-K’, b]2) K’→K-{FP,FN}, c]1) A”→{Adverbial}-A’, c]2) A’→A-Adverbial, d]1) P”→{Adverbial}-P’ dan d]2) P’→P-FN. Berdasarkan rumus 21, kita boleh meringkaskannya menjadi 22) X”→(Spec)-X’. Ia menunjukkan bahawa setiap projeksi pertengahan ada projeksi kepala yang mempunyai Komplemen. Setiap kepala boleh bersifat opsyenal atau wajib bergantung kepada jenis kepala yang disubkategorisasi. Ia dapat digambarkan melalui skema 23) X’→X-(Komp). Kedua-dua rumus boleh digambarkan sebagai 24) X” diikuti (Spec) dan X’(X dan (Komp)).

            Berdasarkan skema 24, jelaslah bahawa projeksi leksikal yang ditunjukkan oleh (22-23) bersifat endosentrik iaitu X” mengandungi X’ dan X’ pula mengandungi X sebagai kepala leksikal. Teori X-Berpalang ini menyelesaikan masalah pertindanan dan fungsi RSF yang menghuraikan maklumat sintaktik dalam leksikal. Maka, teori X-Berpalang telah mengambil alih semua fungsi RSF pada peringkat SD. Walaubagaimanapun, teori X-berpalang beroperasi secara berasingan daripada rumus subkategorisasi. Akhirnya, kita boleh menggambarkan proses yang berlaku di peringkat SD melalui skema Teori X-Berpalang dan Leksikon+Rumus Subkategorisasi boleh dicantumkan membentuk Struktur-D.

            Kesimpulannya, penolakan RSF bukanlah penolakan keseluruhan teori TG tetapi ia lebih kepada pembaikian teori TG untuk menjadikannya lebih mantap. Prinsip yang menjadi teras kepada teori TG seperti sifat kesejagatan bahasa, konsep transformasi, dan konsep rumus masih dikekalkan. Teori X-Berpalang boleh dianggap teori yang memisahkan teori standard daripada teori yang ada hari ini. Sebaliknya, teori ini telah menghubungkan antara teori standard dengan teori baru iaitu dengan mengekalkan konsep rumus yang perlu ada dalam fikiran setiap manusia.           

No comments:

Post a Comment