Friday, September 21, 2012

Pendapat Nik safiah tentang kata "adalah" (SINTAKSIS)

            Kami juga telah meneliti pendapat yang diutarakan oleh Nik Safiah Karim tentang kata adalah. Nik Safiah Karim mempunyai pendapat yang berbeza tentang kata adalah yang bertentangan dengan pendapat Asmah Haji Omar. Beliau mengatakan bahawa kata adalah merupakan Kata Pemeri dan bukannya Kata Kopula. Menurut Nik Safiah Karim, Kata Pemeri berfungsi sebagai kata yang memisahkan atau menghuraikan hubungan antara subjek dan predikat dalam ayat.

            Memandangkan kebanyakan ayat dalam Bahasa Melayu tidak memerlukan kata kerja, kebanyakan pengguna telah menyalahgunakan perkataan adalah sebagai penterjemahan kepada kata kerja Bahasa Inggeris yang mana penggunaan kata kerja tersebut tidak sesuai digunakan dalam Bahasa Melayu. Ayat yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu tidak memerlukan perkataan adalah kerana struktur ayat yang digunakan ialah Kata Nama diikuti Kata Nama dan Kata Nama diikuti Kata Adjektif dan ia dapat dilihat dalam contoh ayat yang berikut iaitu The architect of the science center is En. Lim manakala ayat yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu tidak mempunyai perkataan adalah iaitu Arkitek pusat sains itu En.  Lim.  Oleh yang demikian, kami akan mengupas dengan lebih lanjut tentang kedudukan kata adalah menurut Nik Safiah dalam ayat Bahasa Melayu.

            Pertama sekali, perkara utama yang ditegaskan oleh Nik Safiah ialah kata adalah tidak sama seperti ‘verb to be’ dalam Bahasa Inggeris. Malahan, ia tidak sesuai digunakan dalam ayat dia atas. Nik Safiah turut mengingatkan kita bahawa semua ayat dalam Bahasa Melayu memerlukan Kata Kerja dalam predikat. Bahagian lain dalam pertuturan seperti Kata Nama, Kata Adjektif, dan Kata Preposisi boleh berfungsi sebagai item di dalam predikat. Ini sangat penting untuk membezakan antara Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Beliau mengatakan bahawa kita tidak boleh mencampuradukkannya dalam penggunaan ayat Bahasa Melayu. Ayat yang berikut menunjukkan penggunaan kata adalah yang telah dipengaruhi oleh Bahasa Inggeris iaitu The amount of savings by the Malaysian public is tremendous dan ayatnya dalam Bahasa Melayu ialah Jumlah wang simpanan oleh rakyat Malaysia adalah amat besar. Ayat yang berikut boleh didirikan tanpa menggunakan kata adalah seperti Jumlah wang simpanan oleh rakyat Malaysia amat besar. Namun begitu, ini tidaklah bermakna yang kata adalah tidak berfungsi langsung. Malahan, contohnya dapat dilihat dalam situasi berikut iaitu di dalam ayat yang mana predikat menerangkan subjeknya. Dalam hal ini, kata adalah digunakan dan struktur ayat yang digunakan ialah Kata Nama diikuti Kata Adjektif dan kata Nama diikuti Kata Preposisi. Ayat yang menerangkan struktur KN+KA ialah Taklimat tentang projek perladangan itu adalah terlalu pendek, manakala ayat yang menerangkan struktur KN+KP ialah Hadiah yang disumbangkan oleh bank itu adalah untuk mangsa banjir.

            Selain itu, Nik Safiah turut mengatakan bahawa terdapat beberapa penggunaan kata adalah yang tidak sesuai dalam Bahasa Melayu iaitu kata adalah tersebut seharusnya digantikan dengan kata hubung atau digugurkan. Penyataan ini dapat dikukuhkan dengan contoh berikut iaitu Adalah diberitahu bahawa bangunan ini akan diruntuhkan tidak lama lagi. Ayat tersebut ternyata tidak gramatis dan kata adalah tersebut seharusnya digantikan dengan frasa atau perkataan lain seperti dengan ini tuan-tuan dan puan-puan, dengan hormatnya, dan anda.

Kata Pemeri merupakan Kata Tugas yang tidak boleh berdiri sendiri. Beliau mengatakan bahawa kata adalah digunakan untuk pemerihalan secara huraian atau kualitatif. Kata adalah biasanya hadir di hadapan Kata Sifat dan Kelompok Kata Sendi Nama. Kata Pemeri biasanya hadir di dalam struktur ayat KN+KA (Kata Nama+Kata Adjektif) dan KN+KP (Kata Nama+Kata Preposisi). Penggunaan kata adalah dalam struktur ayat KN+KA dapat dilihat dalam contoh tersebut iaitu Dunia ini adalah fana manakala contoh bagi struktur ayat KN+KP dapat dilihat dalam contoh tersebut iaitu Hadiah yang disumbangkan oleh bank itu adalah untuk mangsa banjir.

2 comments:

  1. selamat pagi.. saya ingin mengajukan satu soalan yang berkaitan dengan kata pemeri 'adalah' yang mengelirukan saya. contoh ayat : "Oleh itu, adalah menjadi harapan saya agar semua pelanggan kami sentiasa menggunakan kemudahan komunikasi yang sedia ada." pertanyaan saya disini sesuaikah kata pemeri diletakkan selepas penanda wacana? terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Selamat sejahtera, kata pemeri adalah biasanya hadir sebelah Kata Adjektif dan Kata Sendi Nama. Oleh itu, adalah di ayat tersebut tidak sesuai kerana ia hadir sebelah kata kerja menjadi. Oleh itu anda boleh menghasilkan ayat sedemikian, Oleh itu, saya berharap agar semua pelanggan sentiasa menggunakan kemudahan komunikasi yang disediakan , Lagi gramatis ayatnya.

    ReplyDelete