Friday, September 21, 2012

Pendapat Darwis Harahap tentang kata "adalah" (SINTAKSIS)

            Setelah meneliti pendapat tokoh-tokoh di atas, kami akan menghuraikan pula pendapat Darwis Harahap tentang kata adalah. Darwis harahap dikatakan mengambil jalan tengah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi berkaitan kata adalah. Beliau bersetuju dengan separuh pendapat Asmah dan separuh pendapat Nik Safiah. Tindakan beliau ini seolah-olah seperti lalang ditiup angin yang tidak mempunyai pendirian yang tetap. Malahan, kami beranggapan bahawa beliau tidak mahu pendapatnya dikecam oleh kedua-dua tokoh tersebut dan berharap ia diterima oleh semua orang.

            Pendapat pertama beliau tentang kata adalah ialah ia termasuk dalam golongan Kata Pemeri. Melalui pendapat ini, kita dapat lihat bahawa Darwis bersetuju dengan pendapat Nik Safiah tentang Kata Pemeri iaitu kelompok kata yang meluaskan makna kata lain. Selain itu, ketiadaan atau pengguguran perkataan adalah akan membuatkan ayat yang terhasil menjadi tidak gramatis. Kata Pemeri adalah meluaskan makna bahagian utama iaitu subjek dalam sesuatu ayat. Sekiranya kata Pemeri digugurkan, maka makna bahagian utama akan menjadi tidak jelas. Malahan, ayat tersebut akan menjdi tidak gramatis. Namun begitu, sekiranya makna bahagian utama sudah jelas, kehadiran Kata Pemeri adalah boleh digugurkan. Hal ini dapat dilihat dalam contoh ayat yang berikut iaitu Surat ini adalah untuk abang saya. Sekiranya perkataan adalah digugurkan, ayat yang terhasil ialah Surat ini untuk abang saya dan makna ayat tersebut boleh difahami. Keadaan ini bukan hanya berlaku pada perkataan adalah, malahan pada beberapa Kata Kerja lain seperti perkataan ada dan pergi yang diterangkan oleh Za’ba.

            Darwis Harahap turut berpendapat bahawa Kata Pemeri adalah sama seperti Kata Adjektif dan Kata Kerja. Seperti mana yang terdapat dalam rumus beliau, Kata Pemeri berada pada puncak yang sama dengan Kata Kerja dan Kata Adjektif iaitu di bawah puncak Kelompok Kata Karyaan. Ini bermakna, Kata Karyaan membawahi tiga golongan perkataan iaitu Kata Pemeri, Kata Kerja, dan Kata adjektif. Disebabkan ketiga-tiga golongan ini berada di satu tempat iaitu di bawah puncak Kata Karyaan, maka ketiga-tiga golongan perkataan ini tidak boleh hadir serentak atau bersama-sama.
Pendapat ketiga Darwis tentang kata adalah ialah kata tersebut hadir sebelum Kata Sendi Nama. Mengikut rumus yang direka oleh beliau, Kata Kerja, Kata Nama, dan Kata Sendi Nama berada sebaris di bawah kelompok Kelompok Kata Karyaan. Kita boleh lihat penggunaan kata adalah di hadapan Kata Sendi Nama. Ayat yang boleh menerangkan penyataan ini ialah Bunga ini adalah untuk isterinya. Ayat ini menunjukkan bahawa Kata Pemeri adalah boleh hadir sebelum Kata Sendi Nama untuk.

            Untuk menguatkan lagi bukti beliau tentang kebenaran kata adalah sebagai Kata Pemeri, Darwis membuat penyataan bahawa Kata Pemeri adalah tidak boleh hadir bersama dengan Kata Kerja atau Kata Adjektif. Kata Pemeri, Kata Kerja, dan Kata Adjektif berada di tempat yang sama. Oleh yang demikian, hanya salah satu sahaja daripada kata tersebut boleh hadir atau dalam erti kata lain Kata Pemeri tidak boleh diikuti oleh Kata Kerja dan Kata Adjektif. Untuk menghuraikan lagi maksud penyataan ini, kami akan menunjukkan dua ayat yang sesuai. Ayat yang pertama ialah Kawan saya adalah bekerja di Dewan Bahasa dan ayat yang kedua ialah Kawan saya bekerja di Dewan Bahasa. Ayat yang pertama menunjukkan kata adalah diikuti oleh Kata Kerja. Sesungguhnya, kita dapat lihat bahawa ayat yang terhasil tidak begitu gramatis berbanding ayat yang kedua iaitu setelah Kata Kerja digugurkan.

            Tambahan lagi, Darwis mengatakan bahawa kehadiran Kata Pemeri di dalam ayat dasar adalah wajib tetapi ia harus digugurkan dalam ayat terbitan. Keadaan ini dinamakan transformasi pengguguran. Semasa bertutur, penutur biasanya menggunakan ayat terbitan sama ada kerana transformasi pengguguran, transformasi pemindahan atau kedua-duanya sekali. Hal ini berlaku kerana perkara yang ingin disampaikan biasanya diutamakan oleh penutur dan bahagian yang sudah diketahui pendengar biasanya tidak disebut atau diulang lagi.

            Secara keseluruhannya, Darwis berpendapat bahawa kata adalah termasuk bawah kelompok Kata Pemeri iaitu di bawah puncak Kata Kerja. Oleh itu, pembinaan ayat yang meniru struktur bahasa asing dapat dihindarkan. Sesungguhnya, Bahasa Melayu telah memiliki peribadinya sendiri tetapi kajian terhadapnya masih jauh daripada memuaskan.

No comments:

Post a Comment