Friday, September 21, 2012

Distribusi Fonem Dialek Besut

            4.0 DISTRIBUSI FONEM

Berdasarkan tesis yang telah kami baca, distribusi fonem ialah lingkungan-lingkungan tertentu yang boleh diduduki oleh sesuatu fonem dalam suku kata atau kata. Fonem adalah unit tatabahasa terkecil yang bersifat abstrak yang tidak bermakna. Dalam mengenal pasti fonem, terdapat empat kaedah yang boleh digunakan ialah kaedah pasangan minimal, pasangan minimal terdekat, penyebaran saling melengkapi, dan variasi bebas. Pasangan minimal merupakan kaedah dua kata yang hampir sama tetapi bunyinya berbeza pada lingkungan yang sama. Misalnya, perkataan “bata” → /batɔ/ dan “atap” → /ataɁ/. Pasangan minimal terdekat pula ialah kaedah yang membandingkan dua kata berbeza pada dua atau lebih lingkungan yang sama. Perbezaaan ini juga boleh membezakan makna seperti “topi” → /tɔpi/ dan “dobi” → /dɔbi/. Manakala variasi bebas ialah dua kata yang berbeza pada satu lingkungan yang sama. Perkataan ini tidak membezakan makna dan dipanggil alofon. Misalnya, /agama/, /ugama/, dan /igama/. Oleh itu, kita tahu bahawa alofon dan fonem saling berkait dalam kajian fonologi. Dalam bahasa Melayu, terdapat 33 buah fonem iaitu 24 fonem asli dan 9 fonem pinjaman.
            Dalam dialek yang dikaji, terdapat 19 konsonan dan 8 vokal. Vokal yang pertama ialah vokal /i/. Ia boleh hadir pada suku kata tertutup dan suku kata yang terbuka yang boleh mendahului mana-mana konsonan yang boleh menajadi koda suku kata. Misalnya, /silaɁ/ → “silap”, /wɔli/ → “wali”, dan /nipih/ → “nipis”. Walaubagaimanapun, tiada distribusi fonem /i/ pada suku kata pertama yang berfungsi sebagai nukleus dalam dialek ini. Seterusnya ialah distribusi vokal /e/. Ia hanya berlaku pada suku kata akhir tertutup pada suku kata pertama dan pada suku kata tertutup pada akhir kata.
            Distribusi vokal /ɛ/ pula dapat dilihat pada suku kata terbuka pada suku kata pertama, suku kata terbuka pada akhir kata, suku kata tertutup pada akhir kata, dan pada suku kata pertama yang berfungsi sebagai nukleus seperti /sɛlɔɁ/ → “selak”, /sipɛ/ → “simpan”, /pəlɛɁ/ → “pelik” dan /ɛkɔ/ → “ekor”. Distibusi vokal yang seterusnya ialah vokal /a/. Ia hadir pada semua lingkungan suku kata sama ada suku kata terbuka atau tertutup. Contoh perkataan adalah seperti /kayu/ → “kayu”, /taɳgɔ/ → “tangga”, /pisa/ → “pisau”, /kipah/ → “kipas”, dan /adaɁ/ → “adab”. Distribusi vokal /u/ pula dapat dilihat pada suku kata pertama, suku kata terbuka pada akhir kata dan berfungsi sebagai nukleus. Misalnya /tuka/ → “tukar”, /paku/ → “paku”, /ubi/ → “ubi”. Distrubusi vokal seterusnya ialah vokal /o/. Ia dapat dilihat pada suku kata terbuka pada akhir kata, suku kata tertutup pada akhir kata, dan berfungsi sebagai nukleus. Ia dapat dilihat dalam perkataan tersebut iaitu /toɁ/ → “datuk”, /jalo/ → “jalur”, dan /kukoh/ → “kukuh”. Distibusi vokal /a/ dapat dilihat pada suku kata terbuka pada suku kata pertama, suku kata terbuka pada akhir kata, suku kata tertutup pada akhir kata, dan berfungsi sebagai nukleus. Misalnya, /wɔɣɛh/ → “waris”, /pɔhɔ/ → “peha”, /kɔɣɔɁ/ → “tengkorak”, dan /ɔlɔ/ → “hulur”. Distibusi vokal yang terakhir ialah /ə/. Ia hanya dapat dilihat pada suku kata terbuka di awal kata  sahaja seperti /kəda/ → “kedai’.
            Selain itu, terdapat juga distribusi konsonan. Konsonan plosif bilabial tidak bersuara /p/ boleh menduduki lingkungan di bahagian awal dan tengah kata dalam dialek ini. Misalnya, /pasa/ → “pasar”, /tupa/ → “tupai”, dan ləpah/ → “lepas”. Distribusi konsonan yang seterusnya ialah konsonan plosif bilabial bersuara iaitu konsonan /b/. Fonem /b/ boleh menduduki lingkungan di bahagian awal dan tengah kata sahaja dan tidak boleh wujud di lingkungan akhir kata. Misalnya, /baju/ → “baju” dan /subo/ → “subur”. Selain itu, terdapat juga distribusi konsonan plosif alveolar tidak bersuara iaitu /t/. Ianya terdapat pada bahagian awal dan tengah perkataan sahaja dalam dialek ini dan tidak wujud pada bahagian akhir kata. Sebagai contoh, /tuli/ → “tuli” dan /ɣɔti/ → “roti”. Seterusnya pula ialah konsonan plosif alveodental bersuara iaitu /d/. Fonem ini hanya boleh menduduki pada bahagian awal dan tengah kata. Misalnya, /dadu/ → “dadu”, /daki/ → “daki” dan /kuda/ → “kuda”. Konsonan plosif velar tidak bersuara iaitu /k/ pula boleh menduduki pada bahagian awal dan tengah kata sahaja seperti /kaca/ → “kacau” dan /kaki/ → “kaki”. Seterusnya ialah konsonan plosif velar bersuara iaitu /g/. Distribusi fonem ini terdapat pada bahagian awal dan tengah kata juga seperti /gutu/ → “kutu” dan /tigɔ/ → “tiga”. Konsonan plosif glotal /Ɂ/ pula tidak mempunyai distribusi fonem yang lengkap kerana ia tidak wujud pada awal kata dan hanya ada pada bahagian tengah dan akhir kata. Misalnya, /saɁtu/ → “sabtu” dan /kakɔɁ/ → “kakak”.
Seterusnya ialah konsonan frikatif alveolar tidak bersuara /s/. Distribusi fonem ini dapat dilihat pada bahagian awal dan tengah kata sahaja seperti /subɛ/ → “subang” dan /pusaɁ/ → “pusat”. Konsonan frikatif velar bersuara /ɣ/ pula hanya boleh menduduki bahagian awal dan tengah kata sahaja. Misalnya, /ɣumɔh/ → “rumah” dan /daɣɔh/ → “darah”. Konsonan frikatif glotal bersuara iaitu /h/ mempunyai distribusi fonem yang lengkap kerana dapat menduduki kesemua lingkungan kata iaitu pada bahagian awal, tengah, dan akhir kata seperti /habih/ → “habis”, /maha/ → “mahal”, dan /luwah/ → “luas”. Di samping itu, konsonan afrikat palato alveolar tidak bersuara /c/ juga tidak mempunyai distribusi fonem yang lengkap kerana hanya terdapat pada bahagian awal dan tengah kata sahaja. Contoh perkataan itu dapat dilihat pada perkataan tersebut iaitu /cepaɁ/ → “cepat” dan /beci/ → “benci”. konsonan afrikat palato alveolar bersuara /j/ juga tidak mempunyai distribusi fonem yang lengkap kerana ia terdapat pada awal kata dan tengah kata seperti /jalɔ/ → “jala” dan /gaji/ → “gaji”.
            Konsonan lain yang tidak mempunyai distribusi fonem yang lengkap ialah konsonan lateral alveolar bersuara /l/ yang wujud pada awal dan tengah kata seperti /lapa/ → “lapar” dan /gula/ → “gulai”. Selain /l/, konsonan nasal bilabial bersuara /m/ juga wujud pada awal dan tengah kata. Misalnya, /mudɔh/ → “mudah” dan /kumɛ/ → “kuman”. Konsonan nasal alveolar bersuara /n/ juga mempunyai distribusi fonem yang wujud pada awal dan tengah kata. Sebagai contoh, /nasiɁ/ → “nasi” dan /panoh/ → “panah”. Konsonan nasal velar /ɳ/ pula mempunyai distribusi fonem yang lengkap kerana wujud pada semua bahagian kata. Contoh perkataannya ialah /ɳaju/ → “merajuk”, /deɳa/ → “dengar” dan /goɣeɳ/ → “goreng”. Berbeza dengan konsonan separuh vokal labiovelar /w/ yang hanya mempunyai distribusi pada awal dan tengah kata seperti /wɔkah/ → “wakaf” dan /tawa/ → “tawar”. Akhir sekali ialah konsonan separuh vokal palatal /j/ yang mempunyai distribusi fonem pada awal dan tengah kata juga. Misalnya, /juɣɛ/ → “yuran” dan /kajɔ/ → “kaya”. Di akhir bahagian distribusi fonem ini penulis menyimpulkan bahawa kebanyaan distribusi fonem konsonan tidak dapat berlaku pada lingkungan akhir kata. Kebanyakannya hanya berlaku pada lingkungan awal dan tengah kata sahaja.
           
           


Berdasarkan kajian dan penulisan yang dibuat oleh penulis kajian tentang dialek Besut ini, kami mendapati bahawa terdapat beberapa kekurangan dan kesilapan yang dilakukan oleh penulis dalam penulisan tesis beliau ini. Perkara pertama yang kami dapat lihat ialah, dari segi pengelompokan bahagian fonem yang mempunyai distribusi lengkap dan tidak lengkap. Pada pandangan kami, penulis sepatutnya boleh memikirkan sesuatu pembahagian yang lebih terperinci dalam menerangkan tentang distribusi fonem yang lengkap dan tidak lengkap. Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya penulis membuat dua kelompok atau bahagian bagi mengasingkan bahagian untuk distribusi fonem yang lengkap dan tidak lengkap. Hal ini demikian kerana, kami merasakan bahawa cara penulis menghuraikan tentang distribusi fonem-fonem tersebut tidak menampakkan sebarang perbezaan yang ketara. Penulis seperti hanya membuat penyataan tentang distribusi fonem dan tidak menekankan pada mana-mana bahagian. Sekiranya penulis mengasingkan distribusi fonem tersebut kepada dua bahagian, maka, pembaca akan nampak dengan jelas perbezaan yang terdapat antara fonem yang mempunyai distribusi lengkap dan tidak lengkap.
Di samping itu, huraian yang diberikan oleh penulis tentang distribusi fonem tersebut tidak terperinci dan terlalu ringkas. Pada pendapat kami, penulis perlulah membuat huraian yang lebih baik bagi membolehkan pembaca memahami tentang konsep yang diperkatakan. Sebagai seorang penulis juga, setiap orang perlu menganggap pembacanya tidak mengetahui sebarang perkara tentang hal yang ditulis.
            Namun begitu, berdasarkan penulisan ini, kami mendapati bahawa penulis sangat teliti dalam mengkaji tentang dialek Kuala Besut tersebut. Hal ini demikian kerana, penulis membuat pencarian data dengan baik bagi memastikan bahawa fakta yang dimasukkan adalah bernas dan bermaklumat untuk semua orang. Data-data yang diperolehi sangat lengkap dan dapat memberi gambaran kepada pembaca tentang apakah yang dimaksudkan dengan distribusi fonem pada awal kata, tengah kata, akhir kata dan juga sebagai nukleus.

No comments:

Post a Comment