Friday, September 21, 2012

Proses fonologi


Struktur suku kata
Segmen konsonan dan vokal merupakan unsur utama yang membina atau membentuk sesuatu morfem dan juga kata. Dalam analisis fonologi, konsonan dan vokal boleh bergabung untuk membentuk satu unit fonologi yang diberi nama suku kata. Secara umumnya, suku kata yang wujud dalam bahasa manusia itu boleh dikelaskan kepada empat jenis iaitu KV, V, KVK, dan VK. Suku kata adalah unit fonologi yang mempunyai struktur berhierarki yang lazimnya boleh digambarkan melalui rajah pohon. Unsur utama yang mendirikan sesebuah suku kata ialah nukleus, dan lazimnya semua vokal boleh menjadi nukleus. Dalam bahasa Melayu, hanya vokal sahaja boleh menjadi nukleus suku kata, dan bunyi konsonan tidak dibenarkan sama sekali. Namun begitu, sesetengah bahasa, misalnya bahasa Inggeris konsonan nasal dan likuida boleh menjadi nukleus di samping semua bunyi vokal yang ada. Konsonan yang berada di sebelah kiri nukleus diberi nama onset, dan yang berada di posisi sebelah kanan itu dipanggil koda. Gabungan nukleus dan koda membentuk satu nodus yang diberi nama rima. Bagi suku kata terbuka, seperti V dan KV, komponen rimanya tidak mempunyai koda. Ini bermakna, koda adalah unsur yang bersifat opsyenal sama seperti onset. Terdapat beberapa proses fonologi yang melibatkan struktur suku kata iaitu pengguguran, penyisipan, peleburan, dan metatesis.

3.1 Pengguguran
            Pengguguran ialah proses yang menghilangkan atau meluluhkan sesuatu segmen sama ada konsonan ataupun vokal. Sekiranya peluluhan itu melibatkan konsonan, maka proses tersebut dinamakan pengguguran konsonan, dan sekiranya bunyi vokal yang terlibat, maka proses yang berlaku itu dinamakan pengguguran vokal. Pengguguran konsonan berlaku apabila satu suku kata yang berakhir dengan konsonan (KVK,VK) bertemu dengan suku kata yang bermula dengan (KV,KVK), maka terbentuklah rangkap konsonan (KVKK, VKKV). Maka, pengguguran dilakukan untuk menghapuskan rangkap ini. Keadaan ini berlaku di dalam bahasa Peranchis. Selain itu, pengguguran juga ada kaitannya dengan kekangan penyebaran sesuatu segmen di dalam suku kata. Dalam kebanyakan bahasa, setiap bunyi konsonan yang hadir dalam inventori fonemnya itu biasanya boleh hadir di posisi onset. Sebaliknya, tidak semua konsonan tersebut boleh menduduki posisi koda suku kata. Keadaan ini dapat dilihat juga dalam dialek Pulau Pinang yang kami kaji. Apabila konsonan /r/ hadir di posisi koda, maka segmen tersebut akan digugurkan. Berdasarkan kajian yang telah kami lakukan, kami mendapati bahawa proses pengguguran turut berlaku dalam dialek Bayan Lepas. Data yang diperolehi daripada kajian kami yang mengalami proses pengguguran konsonan. Pengguguran berlaku pada imbuhan awalan iaitu konsonan /r/ digugurkan pada imbuhan awalan ter- dan ber-. Pengguguran ini berlaku seperti bahasa Melayu standard.
            Bahasa Melayu           Dialek Bayan Lepas
 [ bərtolaʔ ]                 [ bətolaʔ ]                               bertolak
            [ tərkojaʔ ]                 [tekojaʔ ]                                terkoyak                                  
            Sama seperti pengguguran konsonan, pengguguran vokal bertujuan untuk menghapuskan kehadiran atau kemunculan rangkap vokal di dalam kata ataupun frasa. Fenomena ini berlaku dalam bahasa Peranchis dan juga dalam salah satu dialek Melayu. Namun begitu, proses ini tidak berlaku dalam dialek Bayan lepas.

3.2 Penyisipan
            Penyisipan bermaksud satu proses fonologi yang memasukkan atau menyelitkan segmen tertentu ke dalam bentuk dasar. Penyisipan juga sering disebut sebagai epentesis. Proses ini bertujuan untuk menghapuskan kehadiran segmen yang berangkap dan ia melibatkan penyisipan konsonan dan penyisipan vokal. Satu alternatif untuk menghapuskan rangkap vokal ialah dengan menyelitkan bunyi konsonan di antara dua urutan vokal berkenaan. Proses ini berlaku dalam bahasa Hanunoo tetapi tidak ada pada dialek Pulau Pinang yang kami kaji. Penyisipan konsonan berlaku untuk memisahkan rangkap vokal. Rangkap vokal terhasil apabila imbuhan yang berakhir dengan vokal bertemu dengan kata dasar yang bermula dengan vokal bertemu dengan kata dasar yang bermula dengan vokal. Penyisipan vokal pula berlaku untuk memisahkan rangkap konsonan. Kehadiran segmen vokal di antara konsonan tersebut menjadikan bentuk suku kata lebih mudah dan menjadi pilihan umum iaitu berstruktur KV. Proses penyisipan ini berlaku dalam bahasa Slovak.
3.3 Peleburan.
            Selain itu, proses fonologi yang lain ialah proses peleburan. Proses peleburan juga merupakan salah satu daripada cara untuk menghindari kemunculan rangkap segmen sama ada vokal atau konsonan selain daripada pengguguran dan penyisipan. Dalam proses peleburan, segmen yang berurutan itu akan digantikan dengan satu segmen yang lain dan segmen tersebut memiliki fitur-fitur daripada kedua-dua segmen yang asal tadi. Proses peleburan terbahagi kepada dua bahagian iaitu peleburan konsonan dan peleburan vokal. Peleburan konsonan bermaksud proses yang meleburkan dua konsonan dasar yang berurutan menjadi satu konsonan lain. Proses peleburan konsonan dapat dilihat dalam bahasa Dusun Kimaragang. Namun begitu, proses peleburan tidak berlaku dalam dialek yang kami kaji.

Peleburan vokal pula berlaku di mana kedua-dua vokal itu  sering menjadi digantikan dengan satu vokal baru yang mengekalkan fitur tertentu daripada vokal-vokal berkenaan. Antara rangkap-rangkap vokal yang sering mengalami peleburan ialah rangkap /ia/ dan /ua/. Rangkap /ia/ akan berubah menjadi vokal rendah hampar [ ɛ ], manakala rangkap /ai/ berubah menjadi vokal rendah bundar [ ɛ ]. Fitur rendah yang diperolehi daripada vokal /i/ dan fitur bundar daripada vokal /u/. Fenomena peleburan vokal ini dapat dilihat dalam dialek Pulau Pinang yang kami kaji iaitu
            Bahasa Melayu           Dialek Pulau Pinang              
            [ biasə ]                       [ bɛsa ]                                               ‘biasa’
            [ naiʔ ]                        [ nɛʔ ]                                     ‘naik’
Peleburan vokal yang berlaku dalam dialek pulau Pinang itu menunjukkan bahawa kata asalnya bersuku kata tiga dalam bahasa Melayu telah berubah menjadi dua suku kata. Hal ini menunjukkan bahawa peleburan bukan sahaja untuk mengelakkan kemunculan rangkap vokal, peleburan juga bertujuan untuk memendekkan suku kata.

Di samping itu, proses peleburan juga melibatkan segmen rangkap yang berbeza. Ia boleh berlaku pada segmen vokal dan konsonan dalam suku kata yang sama. Proses ini biasanya akan menghilangkan konsonan yang berada di posisi koda, dan bunyi vokal di posisi nukleus yang akan mengalami perubahan. Gabungan vokal dan konsonan nasal telah mengalami peleburan dan digantikan dengan vokal yang dianalisasikan. Proses ini berlaku dalam bahasa Peranchis dan bahasa Melayu dialek Kelantan. Walaubagaimanapun, ia tidak terdapat dalam dialek Bayan Lepas yang kami kaji.
           
3.4 Metatesis
            Proses fonologi yang seterusnya ialah proses metatesis. Proses ini digunakan oleh sesuatu bahasa atau dialek untuk mengubah struktur suku kata. Ia melibatkan perubahan atau pertukaran kedudukan dua segmen secara menyaling. Metatesis berlaku dalam dialek Melayu Perak tetapi tidak berlaku pada dialek Bayan Lepas.

4.0 Penguatan dan pelemahan
            Sewaktu penutur mengujarkan sesuatu kata, ada bunyi pada suku kata tertentu daripada kata tersebut yang kedengaran lebih kuat atau lemah berbanding dengan bunyi-bunyi suku kata yang lain. Fenomena ini ada kaitannya dengan proses pelemahan dan penguatan. Proses ini bertujuan untuk membuatkan bunyi yang terlibat lebih jelas dipersepsi atau ditanggap oleh pendengar, manakala proses pelemahan bertujuan untuk mengaburkan bunyi berkenaan daripada pendengaran pendengar. Sebelum ini, kita telah melihat bahawa perubahan struktur suku kata mengarah kepada binaan yang lebih mudah. Misalnya, morfem yang mempunyai struktur yang kompleks seperti KVKKV akan diubah menjadi KVKVKV melalui proses penyisipan vokal atau menjadi KVKV melalui proses pengguguran konsonan. Tidak semua perubahan strktur kata mengarah kepada binaan yang mudah. Kadang kala struktur suku kata akan menjadi lebih kompleks. Hal ini dapat dilihat apabila morfem yang berstruktur KVKV mengalami proses pengguguran vokal lalu menghasilkan morfem yang berstruktur KKVK. Pengguguran seperti ini akan menghasilkan struktur suku kata yang lebih kompleks. Faktor itu ada kaitan dengan kedudukan segmen yang berada di posisi yang lemah dalam suku kata. Maka, faktor pelemhan adalah pendorong utama kepada proses pengguguran vokal tersebut. Dua proses pelemahan yang utama ialah sinkope dan apokope.

            Sinkope ialah proses pelemahan yang melibatkan pengguguran vokal yang berhampiran dengan vokal yang mendapat tekanan. Fenomena ini berlaku dalam perkembangan sejarah yang memperlihatkan perubahan daripada bahasa Latin kepada bahasa peranchis. Namun begitu, sinkope tidak berlaku dalam dialek Pulau Pinang yang kami kaji.

            Apokope pula ialah proses pelemahan yang melibatkan pengguguran vokal tanpa tekanan di akhir kata. Vokal tanpa tekanan ini kebiasaannya adalah vokal yang mengalami reduksi yang direalisasikan sebagai schwa. Proses ini berlaku dalam bahasa Peranchis tetapi tidak pula berlaku dalam dialek yang kami kaji.

            Proses yang seterusnya di bawah penguatan dan pelemahan adalah diftongisasi. Antara vokal yang dianggap mempunyai ciri yang kuat ialah vokal yang mendapat tekanan dan vokal tegang. Bunyi diftong yang terdiri daripada gabungan bunyi vokal dan bunyi geluncuran juga dikatakan mempunyai ciri kuat. Proses fonologi yang mengubah bunyi vokal menjadi bunyi diftong dinamakan diftongisasi. Dengan kata lain, diftongisasi ialah proses penguatan yang menjadikan bunyi monoftong menjadi diftong. Monoftong bermaksud satu segmen bunyi, manakala diftong pula bermaksud dua segmen bunyi. Berdasarkan data yang kami peroleh dari kajian terhadap dialek Bayan Lepas, kami mendapati bahawa proses ini tidak berlaku dalam dialek ini.

1 comment: