Pantun ialah karya puisi Melayu lama yang bukan sekadar
sarat dengan makna tetapi juga padat dengan nilai estetikanya. Nilai
estetikanya dapat dilihat jika sensitif dan peka dengan struktur binaan dan
gaya bahasa sesebuah rangkap pantun. Struktur binaannya tidaklah dibina
sewenang-wenangnya tetapi memerlukan perhatian dan kepekaan daripada semua
aspek.
Bentuk pemikiran yang tersusun dalam pantun memberikan makna
tertentu dan sekaligus memperlihatkan unsur keindahan bahasanya yang amat akrab
dengan kehidupan seharian masyarakat tradisi. Bahasa pantun yang indah dan
halus sering kali dipengaruhi oleh makna yang didokong oleh leksikal dan
rangkai kata yang mengisi rangkap pantun bukannya maksud pantun. Oleh hal yang
demikian, tidak syak lagi bahawa pantun sememangnya menjadi lambang nilai
estetika atau keindahan bahasa Melayu sama ada dari aspek fizikal atau gaya
bahasanya.
Tidak semua orang mampu menghasilkan sebuah pantun yang
menarik terutamanya dalam aspek pemilihan kata yang halus dan penuh dengan
kiasan. Sebagai contoh, penggunaan bahasa dalam pantun sindiran terdiri
daripada kata-kata yang indah dan tidak menyinggung perasaan orang yang
mendengarnya. Jika sindiran dilakukan secara terus-terang dengan menggunakan
kata-kata yang kasar, sudah pasti akan mewujudkan suasana yang tidak harmonis
dan boleh membawa kepada perselisihan faham.
Masyarakat Melayu dahulu dapat menghasilkan pantun yang
penuh dengan nilai estetika dan keindahan bahasanya dan mempunyai maksud yang
mendalam. Ini dapat dilihat dalam contoh pantun dibawah :
Jeruk maman rasanya sedap,
Boleh direndam dengan tauhu
Saya umpama bunga dedap,
Kembangnya segar berbau tidak.
No comments:
Post a Comment