William Labov dan Walter Wolfram adalah dua orang sarjana
sosiolinguistik yang memberi perhatian terhadap dialek tradisional Amerika
Syarikat walaupun penuturnya kian berkurangan. Namun begitu, mereka tetap
mengkaji dengan cermat dan tuntas. Berbanding dengan ahli linguistik di
Malaysia yang beranggapan bahawa dialektologi tradisional tidak memadai dalam
konteks negara dan peranan universiti pada masa kini. Dalam artikel ini, James
T. Collins bukan mahu membangkang pendapat mereka tetapi sebaliknya menyokong
pendapat dua tokoh mahsyur dalam dialektologi dalam kajian dialek tradisional.
Saya juga bersetuju dengan pendapat James T. Collins kerana bukan hanya kajian
sosiolinguistik di bandar merupakan ilmu yang menyumbang kepada masyarakat.
Penyelidikan mereka pada kali
ini ditumpukan pada pulau-pulau yang terpencil. Dialek Melayu di Sungai
Saribas-Rejang ini dikaji dengan dua pecahan iaitu ciri lingusitik dan ciri
sosiolinguistik. Penyelidikan ini adalah lanjutan kepada projek yang ditanggung
FSKK, UKM pada awal tahun 1983. Namun begitu, kajian kali ini hanya ditumpukan
pada Sungai Saribas dan Sungai Rejang kerana terdapat perbezaan yang besar di
antara dialek kedua-dua daerah ini dengan dialek Sarawak. Varian Melayu di
Sungai Saribas dapat berkembang tanpa pengaruh kuat daripada varian Melayu lain
kerana keterpisahan geografi dan dan sejarah perangnya. Tambahan lagi, terdapat
pelbagai tradisi lisan tentang keturunan orang Melayu sehingga mungkin terdapat
pengaruh varian Melayu dari luar. Di Saribas, terdapat banyak kata dan istilah
Iban manakala di Rejang, terdapat pengaruh bahasa Iban dan Melanau.
Kajian mereka kali ini hanya
berfokus kepada tiga buah kampung. Pilihan kali ini berdasarkan beberapa faktor
iaitu menggunakan data tahun 1997 bagi mengelakkan perbezaan alat dan teknik,
menggunakan data yang dicatat oleh James T. Collins sendiri, dan untuk
menyeragamkan sebaran informan pada seluruh sampel.
James T. Collins
menumpukan kepada aspek fonologi dan morfologi dalam ciri-ciri linguistik.
Kebanyakan penutur dialek Melayu Sarawak tidak memahami percakapan orang Melayu
Saribas. Jumlah penutur yang semakin ramai dalam sesuatu perbualan menyukarkan
penutur dialek Sarawak untuk memahaminya. Pertuturan Melayu di Sungai Saribas
dan di Sungai Rejang memperlihatkan perbezaan fonemik antara hentian lelangit
lembut /k/, dan hentian glotis /Ɂ/ pada akhir kata seperti :
Erti Bintangor Sebemban Debak
memarang tetak tetak tetak
ketawa tətaɁ tətaɁ bətaɁ
Selain itu, walaupun pada
umumnya /h/ dalam varian Saribas dan Bintagor sepadan dengan /h/ dalam dialek
Melayu lain, ada juga sejumlah kata yang memperlihatkan hentian glotis, /Ɂ/,
pada akhir kata yang sepadan dengan /h/ pada posisi yang sama dalam dialek
melayu Semenanjung seperti pada kata di bawah yang mana /h/ pada perkataan
lidah tidak mempunyai perbezaan berbanding dengan perkataan mentah :
Erti Bintangor Sebemban Debak
Mentah mantaɁ mantaɁ mantaɁ
Lidah lidah lidah lidah
Pengkaji turut memberi
penekanan terhadap kewujudan /Ɂ/ pada akhir kata, seperti yang terdapat dalam
leksem /kəɣa/ ‘kera’ atau /timbaɁ/ ‘timba’ tidak dapat diramalkan kerana bukan
semua kata yang berakhir dengan vokal diakhiri dengan /Ɂ/. Misalnya :
Erti Bintangor Sebemban Debak
paha pa : paw pɔ
:
hati atiy atɨy atɨy
Data yang dikemukakan oleh
pengkaji ini memperlihatkan dua persamaan antara varian Saribas-Rejang dan
dialek Sarawak. Namun begitu, persamaan pertama iaitu status fonemik /k/ dan
/Ɂ/ hanya bersifat retensi dan tidak menunjukkan hubungan istimewa antara ragam
Bintangor, Sebemban, dan Debak dengan dialek Sarawak. Walaubagaimanapun,
kewujudan /Ɂ/ pada posisi yang sepadan dengan /h/ dalam dialek Semenanjung
menunjukkan hubungan khas antara varian Saribas-Rejang dengan dialek Sarawak.
Berdasarkan penyelidikan
yang dilakukan ini juga, didapati bahawa penjelmaan vokal /a/ pada akhir kata
adalah berbeza. Secara umumnya, varian di Sungai Saribas menampilkan /a/ yang
dibelakangkan dan disertai dengan pembundaran [aw] atau [ɔ] dalam data ini
sedangkan varian di Sungai Rejang lebih menyerupai sebutan yang am dalam dialek
Sarawak iaitu [a]. Namun begitu, varian Sungai Saribas ataupun varian Sungai
Rejang memperlihatkan perbezaan lain yang cukup asasi dengan dialek Sarawak. Pertama
sekali, hampir semua subdialek Melayu Sarawak mengekalkan /ɣ/ pada posisi akhir
kata sebagai [ɣ]. Kedua, ada sebilangan kata Melayu Sarawak yang wujud dengan
hentian glotis /Ɂ/ pada posisi akhir kata yang sepadan dengan /ɣ/ dalam varian
Melayu Semenanjung. Dalam varian Saribas-Rejang, /ɣ/ tidak pernah muncul pada
akhir kata dan kata-kata yang biasanya tampil dengan /Ɂ/ dalam kebanyakan
subdialek Sarawak memperlihatkan bentuk turutan /ɣ/ sahaja dalam varian
Saribas-Rejang. Misalnya,
Erti Bintangor Sebemban Debak
Bercakap klakaᵊ kakaə kaka :
Telur təlɔᵊ təloe təlua
James T. Collin turut
memberi perhatian terhadap variasi /l/. Alofon /l/ memperlihatkan pelbagai
variasi di Hulu Sungai Saribas tetapi dalam varian Sungai Rejang, ia masih
mirip kepada dialek Sarawak am. Misalnya :
Erti Bintangor Sebemban Debak
Katil katil katie katia
Botol botol botoe botoe
Berdasarkan data tersebut,
didapati bahawa hanya sebuah rumus fonologi yang berlaku dalam varian Sungai
Saribas. Vokal dalam suku kata praakhir dilemahkan dan dileburkan. Oleh itu,
rangkaian konsonan yang dihasilkan kemudian wujud sebagai konsonan panjang.
Maknanya, KVKVKV (K)→KKVKV (K)→KKVKV (K)→K : VKV (K). Data di bawah ini
merupakan contoh daripada maklumat Sebemban :
Erti Sebemban
lelaki l : akɨy
kedidi d : idiɁ
Rumus fonologi ini
berhubungan dengan sebahagian rumus morfologi yang menghasilkan kata berimbuhan
dan juga kata majmuk. Misalnya :
Erti Sebemban
bermain m : ain
berdiri d : iɣiy
Terdapat beberapa ciri lain
yang perlu diteliti lagi dalam data yang dikumpulkan tetapi belum dianalisis
sepenuhnya. Misalnya, dalam data Serembang, terdapat pasangan berikut :
tetaɁ ‘ketawa’ taɳis ‘menangis’
pətətaɁ ‘mengapa ketawa pətaɳis ‘mengapa
menangis’
Pengkaji mendapati bahawa
terdapat banyak lagi aspek percakapan di Sungai Saribas yang wajar diteliti.
Aspek fonologi lain juga masih belum disoroti seperti disimilasi sporadik yang
terjadi dalam beberapa varian seperti yang berikut :
Serembang /g/→[ɣ]
(berdekatan bunyi bercirikan grava
[ɣigɨy]
‘gigi’, [ɣusiɁ] ‘gusi’
Tanjung Asam /s/→[t]
(berdekatan /s/ lain)
[tusuw]
‘susu’, [tosoh] ‘taji’
Selain itu, aspek
morfologi yang menonjol dan perlu penelitian yang lanjut ialah wujudnya
partikel irealis yang sudah dikesan dalam beberapa varian Melayu lain di Pulau
Borneo. Partikel yang dimaksudkan muncul dalam ayat Serembang yang berikut [ɳgaɁaɁ]
‘Tidak mahu pun!’. Dalam ayat ini, [aɁ] berfungsi sebagai partikel penegas
dalam ayat aktif.
Ilmu sosiolinguistik telah
berkembang hampir 40 tahun sejak kajian lapangan Labov. Perkembangan itu
berbentuk diversifikasi pendekatan dan juga peluasan cakupan ilmu
sosiolinguistik. Berdasarkan tinjauan yang dilakukan, istilah sosiolinguistik
merujuk kepada ciri=ciri pelaku sosial dalam hubung kaitnya dengan bahasa. Oleh
itu, penulisan ini berdasarkan kepada pandangan Gumperz dan Hymes (1988) yang
berwawasan etnografi komunikasi. Antara kebanyakan topik, hanya bidang
multilingualisme dan pertembungan dialek sahaja yang disentuh. Di Sarawak,
terdapat sekurang-kurangnya 25 hingga 30 bahasa dan daripada jumlah besar itu,
hanya empat yang dianggap sebagai bahasa utama. Bahasa Inggeris masih memainkan
peranan penting di Sarawak. Namun begitu, berdasarkan jumlah penutur, bahasa
Iban merupakan bahasa yang paling ramai penutur utamanya dan boleh dikatakan
sebagai bahasa ibunda. Golongan kedua terbesar ialah kamu Cina, tetapi ia
terbahagi kepada beberapa kelompok bahasa iaitu bahasa Hokciu (34%) dan bahasa
Khek (32%) yang menjadi dominan di kalangan kaum Cina Sarawak. Bahasa yang
ketiga besar ialah bahasa Melayu. Walaubagaimanapun, bahasa Melayu telah
menjadi bahasa utama di Sarawak kerana kedudukannya dalam sistem pendidikan dan
pemerintahan serta penggunaannya yang meluas dalam urusan agama Islam dan
Kristian.
Namun, masyarakat sarawak
di sekitar Sungai Saribas tidak mencerminkan situasi kebahasaan di Sarawak. Hal
ini kerana, ia terletak di kawasan luar bandar. Oleh itu, peranan bahasa
Inggeris sangat minimun. Selain itu, jumlah orang Cina yang menetap di kawasan
kajian adalah sedikit seperti di Meludam. Penduduk di situ seramai 4000 orang
tetapi hanya 2% dari kalangan orang Cina. Maka, walaupun Sarawak merupakan
negeri yang multilingual, di kawasan kajian Saribas hanya dua bahasa yang
memainkan peranan penting iaitu bahasa Melayu dan bahasa Iban. Walaupun tidak banyak, kampung (rumah
panjang) Iban tersebar sehingga di kawasan muara Sungai Saribas seperti di
Meludam. Kampung Melayu pula lebih terbatas sebarannya kerana hanya petempatan
Iban yang terdapat di kawasan perhuluan sungai.
Faktor geografi dan budaya
memberi kesan kepada penggunaan bahasa. Kebanyakan orang di sepanjang Sungai
Saribas mengetahui dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Iban. Di kawasan
muara, orang Melayu hanya mengetahui sedikit bahasa Iban dan di hulu sungai,
pengetahuna bahasa Melayu sedikit terbatas. Semasa mencatat kosa kata Melayu
satu persatu, informan Debak dan Serembang sering memberikan maklumat Iban
juga. Sebagai contoh, apabila ditanya tentang istilah Melayu untuk ‘teman’,
informan Serembang mengatakan ‘bat’ atau [ba : t] tetapi dalam bahasa Iban
‘wat’. Terdapat juga maklumat diperolehi berdasarkan pengakuan dan ceritan
informan. Kebanyakan daripada mereka memberitahu bahawa mereka dapat berbahasa
Iban dan ada yang tidak hanya akan menambahkan ralat. Terdapat informan yang
menceritakan kisah semasa kecil di kampung. Sebagai contoh, kata informan
Serembang, semasa dia baru balik rumah dari main bola ramai-ramai di padang
sekolah dengan kawan-kawan Melayu dan Iban, anak-anak Melayu ini terus masuk
dapur dan berceloteh dengan emaknya-masih dalam bahasa Iban. Mereka kemudian
ditegur dengan tegas oleh emak mereka bahawa tidak boleh berbahasa Iban di
dapur. Hal ini bukan kerana emak mereka tidak faham bahasa Iban, malahan fasih
berbahasa Iban. Namun begitu, mereka
beranggapan bahawa bahasa Melayu yang mesti digunakan dengan orang tua,
apatah lagi di dapur.
Bukan sahaja sebahagian
informan Melayu dapat berbahasa Melayu dan Iban, tetapi sikap penutur Melayu
terhadap bahasa Iban sangat positif. Misalnya, di Bintangor, Sungai Rejang, paa
informan yang kebanyakannya lelaki yang sudah berumur 50 tahun ke atas
memberitahu bahawa lebih kurang 80 % penduduk Melayu di Bintangor dapat
berbahasa Iban. Tambahan lagi, secara spontan, mereka berpendapat bahawa bahasa
Iban sangat halus dan memiliki kosa kata yang lebih kaya daripada bahasa
Melayu. Selain itu, mereka memberikan taklimat yang terperinci tentang leksikon
Iban yang berhubungan dengan jamuan dan ritual. Sememangnya bahasa Iban
menduduki tempat khas dalam hierarki bahasa di Sungai Saribas dan Sungai Rejang,
walaupun di hilir. Sebahagian besar penutur Melayu Saribas turut menguasai
dialek Melayu Sarawak (Kuching). mereka juga boleh bercakap dalam bahasa Melayu
wahana (Melayu pasar) dan jumlah orang yang mampu menuturkan bahasa Melayu agak
ramai. Misalnya, di pekan Meludam, varian Melayu lain jarang didengari kecuali
sekali-sekala di pejabat kerajaan kerana pegawai kerajaa bukan penduduk setempat.
Pengkaji juga mendapati
terdapat percampuran varian akibat daripada pertembungan dengan pelbagai
varian. Misalnya, dalam beberapa rakaman, terdapat kerancuan varian dengan
jelas, terutamanya antara varian Saribas dengan bahasa Melayu. Seorang informan
tua di Meludam bercerita dalam varian Saribas semasa dirakam di rumahnya dengan
pertolongan pembantu penelitian setempat. Namun begitu, apabila informan itu
menyanyi dan berpantun, sebutan dan kosa kata bahasa Melayu dikesan. Pengkaji
mengajukan hal ini kepada informan yang lain dan mereka berpendapat bahawa ia
bukanlah kerancuan varian tetapi hanyalah ragam sastera lisan Meludam yang
biasa dan kebetulan sama dengan bahasa Melayu. Di Bintangor, didapati bahawa
terdapat beberapa contoh kembar dalam variannya. Istilah kata kembar di sini
merujuk kepada kewujudan dua kata yang datang dari sumber yang sama tetapi
disalurkan melalui dua sumber sekunder yang berbeza. Misalnya, kata air muncul
dalam dua bentuk dengan dua makna. Ia diungkapkan oleh informan dengan sebutan
yang lain di Bintangor iaitu [aeᵊ] yang bermaksud ‘air masak’ manakala di
Kuching sebutannya ialah [aiɁ] yang bermaksud ‘air yang belum masak’. Oleh itu,
kedua-dua keadaan ini wujud dengan takrif dan fungsi adjektif masing-masing.
Dalam korpus yang dikumpulkan di Sungai Saribas dan Sungai Rejang, terdapat
tanda dan pengaruh pelbagai dialek dan varian Melayu sama ada dalam bentuk kosa
kata atau perbualan. Ternyata bahawa penguasaan kod secara berindeks sesuai
dengan orang yang disapa atau diajak bercakap dan juga secara pragmatik yang
melibatkan pertukaran kod terutamanya antara varian Saribas dengan dialek
Sarawak (Kuching). Misalnya, peneliti yang berasal dari Kuching selalu disapa
dan diajak bercakap dalam dialek Sarawak Kuching sahaja, manakala peneliti
asing yang tidak menguasai dialek sarawak harus berhadapan dengan pertukaran
antara varian Saribas, dialek Sarawak dan bahasa Melayu. Fenomena ini dan
banyak aspek sosiolinguistik lain perlu penelitian yang lanjut.
Kesimpulannya, berdasarkan
artikel yang dtulis oleh James T. Collin ini, saya mendapati bahawa betapa
pentingnya untuk mengkaji dialek-dialek Melayu termasuklah di kawasan atau
daerah kecil. Hal ini demikian kerana, kajian yang dilakukan terhadap
daerah-daerah kecil ini dapat membantu kita dalam mengenali dengan lebih
mendalam tentang dialek yang digunakan oleh masyarakat Melayu. Selain itu, kita
dapat mengetahui keunikan dan saling hubungan antara dialek-dialek tersebut.
Tambahan lagi, masyarakat Melayu pada masa kini kurang memahami tentang
kepentingan kajian dialek terhadap sesebuah negara dan sesuatu bahasa.
Hakikatnya, sesuatu bahasa biasanya mempunyai sejarah perkembangan yang luas
dan ia mempunyai banyak kaitan antara satu sama lain. Malah, sesuatu bahasa itu
telah berkembang dengan luas sekiranya kita membuat kajian yang lebih terperinci
terhadap dialek-dialeknya.
No comments:
Post a Comment