Friday, September 21, 2012

PERBEZAAN TEORI PEMBELAJARAN PELAZIMAN DAN TEORI KOGNITIF

Distribusi Fonem Dialek Besut

            4.0 DISTRIBUSI FONEM

Berdasarkan tesis yang telah kami baca, distribusi fonem ialah lingkungan-lingkungan tertentu yang boleh diduduki oleh sesuatu fonem dalam suku kata atau kata. Fonem adalah unit tatabahasa terkecil yang bersifat abstrak yang tidak bermakna. Dalam mengenal pasti fonem, terdapat empat kaedah yang boleh digunakan ialah kaedah pasangan minimal, pasangan minimal terdekat, penyebaran saling melengkapi, dan variasi bebas. Pasangan minimal merupakan kaedah dua kata yang hampir sama tetapi bunyinya berbeza pada lingkungan yang sama. Misalnya, perkataan “bata” → /batɔ/ dan “atap” → /ataɁ/. Pasangan minimal terdekat pula ialah kaedah yang membandingkan dua kata berbeza pada dua atau lebih lingkungan yang sama. Perbezaaan ini juga boleh membezakan makna seperti “topi” → /tɔpi/ dan “dobi” → /dɔbi/. Manakala variasi bebas ialah dua kata yang berbeza pada satu lingkungan yang sama. Perkataan ini tidak membezakan makna dan dipanggil alofon. Misalnya, /agama/, /ugama/, dan /igama/. Oleh itu, kita tahu bahawa alofon dan fonem saling berkait dalam kajian fonologi. Dalam bahasa Melayu, terdapat 33 buah fonem iaitu 24 fonem asli dan 9 fonem pinjaman.
            Dalam dialek yang dikaji, terdapat 19 konsonan dan 8 vokal. Vokal yang pertama ialah vokal /i/. Ia boleh hadir pada suku kata tertutup dan suku kata yang terbuka yang boleh mendahului mana-mana konsonan yang boleh menajadi koda suku kata. Misalnya, /silaɁ/ → “silap”, /wɔli/ → “wali”, dan /nipih/ → “nipis”. Walaubagaimanapun, tiada distribusi fonem /i/ pada suku kata pertama yang berfungsi sebagai nukleus dalam dialek ini. Seterusnya ialah distribusi vokal /e/. Ia hanya berlaku pada suku kata akhir tertutup pada suku kata pertama dan pada suku kata tertutup pada akhir kata.
            Distribusi vokal /ɛ/ pula dapat dilihat pada suku kata terbuka pada suku kata pertama, suku kata terbuka pada akhir kata, suku kata tertutup pada akhir kata, dan pada suku kata pertama yang berfungsi sebagai nukleus seperti /sɛlɔɁ/ → “selak”, /sipɛ/ → “simpan”, /pəlɛɁ/ → “pelik” dan /ɛkɔ/ → “ekor”. Distibusi vokal yang seterusnya ialah vokal /a/. Ia hadir pada semua lingkungan suku kata sama ada suku kata terbuka atau tertutup. Contoh perkataan adalah seperti /kayu/ → “kayu”, /taɳgɔ/ → “tangga”, /pisa/ → “pisau”, /kipah/ → “kipas”, dan /adaɁ/ → “adab”. Distribusi vokal /u/ pula dapat dilihat pada suku kata pertama, suku kata terbuka pada akhir kata dan berfungsi sebagai nukleus. Misalnya /tuka/ → “tukar”, /paku/ → “paku”, /ubi/ → “ubi”. Distrubusi vokal seterusnya ialah vokal /o/. Ia dapat dilihat pada suku kata terbuka pada akhir kata, suku kata tertutup pada akhir kata, dan berfungsi sebagai nukleus. Ia dapat dilihat dalam perkataan tersebut iaitu /toɁ/ → “datuk”, /jalo/ → “jalur”, dan /kukoh/ → “kukuh”. Distibusi vokal /a/ dapat dilihat pada suku kata terbuka pada suku kata pertama, suku kata terbuka pada akhir kata, suku kata tertutup pada akhir kata, dan berfungsi sebagai nukleus. Misalnya, /wɔɣɛh/ → “waris”, /pɔhɔ/ → “peha”, /kɔɣɔɁ/ → “tengkorak”, dan /ɔlɔ/ → “hulur”. Distibusi vokal yang terakhir ialah /ə/. Ia hanya dapat dilihat pada suku kata terbuka di awal kata  sahaja seperti /kəda/ → “kedai’.
            Selain itu, terdapat juga distribusi konsonan. Konsonan plosif bilabial tidak bersuara /p/ boleh menduduki lingkungan di bahagian awal dan tengah kata dalam dialek ini. Misalnya, /pasa/ → “pasar”, /tupa/ → “tupai”, dan ləpah/ → “lepas”. Distribusi konsonan yang seterusnya ialah konsonan plosif bilabial bersuara iaitu konsonan /b/. Fonem /b/ boleh menduduki lingkungan di bahagian awal dan tengah kata sahaja dan tidak boleh wujud di lingkungan akhir kata. Misalnya, /baju/ → “baju” dan /subo/ → “subur”. Selain itu, terdapat juga distribusi konsonan plosif alveolar tidak bersuara iaitu /t/. Ianya terdapat pada bahagian awal dan tengah perkataan sahaja dalam dialek ini dan tidak wujud pada bahagian akhir kata. Sebagai contoh, /tuli/ → “tuli” dan /ɣɔti/ → “roti”. Seterusnya pula ialah konsonan plosif alveodental bersuara iaitu /d/. Fonem ini hanya boleh menduduki pada bahagian awal dan tengah kata. Misalnya, /dadu/ → “dadu”, /daki/ → “daki” dan /kuda/ → “kuda”. Konsonan plosif velar tidak bersuara iaitu /k/ pula boleh menduduki pada bahagian awal dan tengah kata sahaja seperti /kaca/ → “kacau” dan /kaki/ → “kaki”. Seterusnya ialah konsonan plosif velar bersuara iaitu /g/. Distribusi fonem ini terdapat pada bahagian awal dan tengah kata juga seperti /gutu/ → “kutu” dan /tigɔ/ → “tiga”. Konsonan plosif glotal /Ɂ/ pula tidak mempunyai distribusi fonem yang lengkap kerana ia tidak wujud pada awal kata dan hanya ada pada bahagian tengah dan akhir kata. Misalnya, /saɁtu/ → “sabtu” dan /kakɔɁ/ → “kakak”.
Seterusnya ialah konsonan frikatif alveolar tidak bersuara /s/. Distribusi fonem ini dapat dilihat pada bahagian awal dan tengah kata sahaja seperti /subɛ/ → “subang” dan /pusaɁ/ → “pusat”. Konsonan frikatif velar bersuara /ɣ/ pula hanya boleh menduduki bahagian awal dan tengah kata sahaja. Misalnya, /ɣumɔh/ → “rumah” dan /daɣɔh/ → “darah”. Konsonan frikatif glotal bersuara iaitu /h/ mempunyai distribusi fonem yang lengkap kerana dapat menduduki kesemua lingkungan kata iaitu pada bahagian awal, tengah, dan akhir kata seperti /habih/ → “habis”, /maha/ → “mahal”, dan /luwah/ → “luas”. Di samping itu, konsonan afrikat palato alveolar tidak bersuara /c/ juga tidak mempunyai distribusi fonem yang lengkap kerana hanya terdapat pada bahagian awal dan tengah kata sahaja. Contoh perkataan itu dapat dilihat pada perkataan tersebut iaitu /cepaɁ/ → “cepat” dan /beci/ → “benci”. konsonan afrikat palato alveolar bersuara /j/ juga tidak mempunyai distribusi fonem yang lengkap kerana ia terdapat pada awal kata dan tengah kata seperti /jalɔ/ → “jala” dan /gaji/ → “gaji”.
            Konsonan lain yang tidak mempunyai distribusi fonem yang lengkap ialah konsonan lateral alveolar bersuara /l/ yang wujud pada awal dan tengah kata seperti /lapa/ → “lapar” dan /gula/ → “gulai”. Selain /l/, konsonan nasal bilabial bersuara /m/ juga wujud pada awal dan tengah kata. Misalnya, /mudɔh/ → “mudah” dan /kumɛ/ → “kuman”. Konsonan nasal alveolar bersuara /n/ juga mempunyai distribusi fonem yang wujud pada awal dan tengah kata. Sebagai contoh, /nasiɁ/ → “nasi” dan /panoh/ → “panah”. Konsonan nasal velar /ɳ/ pula mempunyai distribusi fonem yang lengkap kerana wujud pada semua bahagian kata. Contoh perkataannya ialah /ɳaju/ → “merajuk”, /deɳa/ → “dengar” dan /goɣeɳ/ → “goreng”. Berbeza dengan konsonan separuh vokal labiovelar /w/ yang hanya mempunyai distribusi pada awal dan tengah kata seperti /wɔkah/ → “wakaf” dan /tawa/ → “tawar”. Akhir sekali ialah konsonan separuh vokal palatal /j/ yang mempunyai distribusi fonem pada awal dan tengah kata juga. Misalnya, /juɣɛ/ → “yuran” dan /kajɔ/ → “kaya”. Di akhir bahagian distribusi fonem ini penulis menyimpulkan bahawa kebanyaan distribusi fonem konsonan tidak dapat berlaku pada lingkungan akhir kata. Kebanyakannya hanya berlaku pada lingkungan awal dan tengah kata sahaja.
           
           


Berdasarkan kajian dan penulisan yang dibuat oleh penulis kajian tentang dialek Besut ini, kami mendapati bahawa terdapat beberapa kekurangan dan kesilapan yang dilakukan oleh penulis dalam penulisan tesis beliau ini. Perkara pertama yang kami dapat lihat ialah, dari segi pengelompokan bahagian fonem yang mempunyai distribusi lengkap dan tidak lengkap. Pada pandangan kami, penulis sepatutnya boleh memikirkan sesuatu pembahagian yang lebih terperinci dalam menerangkan tentang distribusi fonem yang lengkap dan tidak lengkap. Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya penulis membuat dua kelompok atau bahagian bagi mengasingkan bahagian untuk distribusi fonem yang lengkap dan tidak lengkap. Hal ini demikian kerana, kami merasakan bahawa cara penulis menghuraikan tentang distribusi fonem-fonem tersebut tidak menampakkan sebarang perbezaan yang ketara. Penulis seperti hanya membuat penyataan tentang distribusi fonem dan tidak menekankan pada mana-mana bahagian. Sekiranya penulis mengasingkan distribusi fonem tersebut kepada dua bahagian, maka, pembaca akan nampak dengan jelas perbezaan yang terdapat antara fonem yang mempunyai distribusi lengkap dan tidak lengkap.
Di samping itu, huraian yang diberikan oleh penulis tentang distribusi fonem tersebut tidak terperinci dan terlalu ringkas. Pada pendapat kami, penulis perlulah membuat huraian yang lebih baik bagi membolehkan pembaca memahami tentang konsep yang diperkatakan. Sebagai seorang penulis juga, setiap orang perlu menganggap pembacanya tidak mengetahui sebarang perkara tentang hal yang ditulis.
            Namun begitu, berdasarkan penulisan ini, kami mendapati bahawa penulis sangat teliti dalam mengkaji tentang dialek Kuala Besut tersebut. Hal ini demikian kerana, penulis membuat pencarian data dengan baik bagi memastikan bahawa fakta yang dimasukkan adalah bernas dan bermaklumat untuk semua orang. Data-data yang diperolehi sangat lengkap dan dapat memberi gambaran kepada pembaca tentang apakah yang dimaksudkan dengan distribusi fonem pada awal kata, tengah kata, akhir kata dan juga sebagai nukleus.

Dialektologi

]  
William Labov dan Walter Wolfram adalah dua orang sarjana sosiolinguistik yang memberi perhatian terhadap dialek tradisional Amerika Syarikat walaupun penuturnya kian berkurangan. Namun begitu, mereka tetap mengkaji dengan cermat dan tuntas. Berbanding dengan ahli linguistik di Malaysia yang beranggapan bahawa dialektologi tradisional tidak memadai dalam konteks negara dan peranan universiti pada masa kini. Dalam artikel ini, James T. Collins bukan mahu membangkang pendapat mereka tetapi sebaliknya menyokong pendapat dua tokoh mahsyur dalam dialektologi dalam kajian dialek tradisional. Saya juga bersetuju dengan pendapat James T. Collins kerana bukan hanya kajian sosiolinguistik di bandar merupakan ilmu yang menyumbang kepada masyarakat.

            Penyelidikan mereka pada kali ini ditumpukan pada pulau-pulau yang terpencil. Dialek Melayu di Sungai Saribas-Rejang ini dikaji dengan dua pecahan iaitu ciri lingusitik dan ciri sosiolinguistik. Penyelidikan ini adalah lanjutan kepada projek yang ditanggung FSKK, UKM pada awal tahun 1983. Namun begitu, kajian kali ini hanya ditumpukan pada Sungai Saribas dan Sungai Rejang kerana terdapat perbezaan yang besar di antara dialek kedua-dua daerah ini dengan dialek Sarawak. Varian Melayu di Sungai Saribas dapat berkembang tanpa pengaruh kuat daripada varian Melayu lain kerana keterpisahan geografi dan dan sejarah perangnya. Tambahan lagi, terdapat pelbagai tradisi lisan tentang keturunan orang Melayu sehingga mungkin terdapat pengaruh varian Melayu dari luar. Di Saribas, terdapat banyak kata dan istilah Iban manakala di Rejang, terdapat pengaruh bahasa Iban dan Melanau. 

            Kajian mereka kali ini hanya berfokus kepada tiga buah kampung. Pilihan kali ini berdasarkan beberapa faktor iaitu menggunakan data tahun 1997 bagi mengelakkan perbezaan alat dan teknik, menggunakan data yang dicatat oleh James T. Collins sendiri, dan untuk menyeragamkan sebaran informan pada seluruh sampel. 

            James T. Collins menumpukan kepada aspek fonologi dan morfologi dalam ciri-ciri linguistik. Kebanyakan penutur dialek Melayu Sarawak tidak memahami percakapan orang Melayu Saribas. Jumlah penutur yang semakin ramai dalam sesuatu perbualan menyukarkan penutur dialek Sarawak untuk memahaminya. Pertuturan Melayu di Sungai Saribas dan di Sungai Rejang memperlihatkan perbezaan fonemik antara hentian lelangit lembut /k/, dan hentian glotis /Ɂ/ pada akhir kata seperti :
Erti                 Bintangor                   Sebemban                   Debak
memarang       tetak                           tetak                           tetak
ketawa            tətaɁ                           tətaɁ                            bətaɁ
            Selain itu, walaupun pada umumnya /h/ dalam varian Saribas dan Bintagor sepadan dengan /h/ dalam dialek Melayu lain, ada juga sejumlah kata yang memperlihatkan hentian glotis, /Ɂ/, pada akhir kata yang sepadan dengan /h/ pada posisi yang sama dalam dialek melayu Semenanjung seperti pada kata di bawah yang mana /h/ pada perkataan lidah tidak mempunyai perbezaan berbanding dengan perkataan mentah :


            Erti                  Bintangor                      Sebemban               Debak
            Mentah            mantaɁ                          mantaɁ                    mantaɁ
            Lidah               lidah                              lidah                        lidah
            Pengkaji turut memberi penekanan terhadap kewujudan /Ɂ/ pada akhir kata, seperti yang terdapat dalam leksem /kəɣa/ ‘kera’ atau /timbaɁ/ ‘timba’ tidak dapat diramalkan kerana bukan semua kata yang berakhir dengan vokal diakhiri dengan /Ɂ/. Misalnya :
            Erti                  Bintangor                      Sebemban               Debak
            paha                 pa :                                paw                         pɔ :
            hati                  atiy                                atɨy                          atɨy

            Data yang dikemukakan oleh pengkaji ini memperlihatkan dua persamaan antara varian Saribas-Rejang dan dialek Sarawak. Namun begitu, persamaan pertama iaitu status fonemik /k/ dan /Ɂ/ hanya bersifat retensi dan tidak menunjukkan hubungan istimewa antara ragam Bintangor, Sebemban, dan Debak dengan dialek Sarawak. Walaubagaimanapun, kewujudan /Ɂ/ pada posisi yang sepadan dengan /h/ dalam dialek Semenanjung menunjukkan hubungan khas antara varian Saribas-Rejang dengan dialek Sarawak.

            Berdasarkan penyelidikan yang dilakukan ini juga, didapati bahawa penjelmaan vokal /a/ pada akhir kata adalah berbeza. Secara umumnya, varian di Sungai Saribas menampilkan /a/ yang dibelakangkan dan disertai dengan pembundaran [aw] atau [ɔ] dalam data ini sedangkan varian di Sungai Rejang lebih menyerupai sebutan yang am dalam dialek Sarawak iaitu [a]. Namun begitu, varian Sungai Saribas ataupun varian Sungai Rejang memperlihatkan perbezaan lain yang cukup asasi dengan dialek Sarawak. Pertama sekali, hampir semua subdialek Melayu Sarawak mengekalkan /ɣ/ pada posisi akhir kata sebagai [ɣ]. Kedua, ada sebilangan kata Melayu Sarawak yang wujud dengan hentian glotis /Ɂ/ pada posisi akhir kata yang sepadan dengan /ɣ/ dalam varian Melayu Semenanjung. Dalam varian Saribas-Rejang, /ɣ/ tidak pernah muncul pada akhir kata dan kata-kata yang biasanya tampil dengan /Ɂ/ dalam kebanyakan subdialek Sarawak memperlihatkan bentuk turutan /ɣ/ sahaja dalam varian Saribas-Rejang. Misalnya, 

            Erti                  Bintangor                   Sebemban                   Debak
            Bercakap         klakaᵊ                         kakaə                          kaka :
            Telur                təlɔᵊ                            təloe                            təlua

            James T. Collin turut memberi perhatian terhadap variasi /l/. Alofon /l/ memperlihatkan pelbagai variasi di Hulu Sungai Saribas tetapi dalam varian Sungai Rejang, ia masih mirip kepada dialek Sarawak am. Misalnya :

            Erti                  Bintangor                   Sebemban                   Debak
            Katil                katil                            katie                            katia
            Botol               botol                          botoe                          botoe

            Berdasarkan data tersebut, didapati bahawa hanya sebuah rumus fonologi yang berlaku dalam varian Sungai Saribas. Vokal dalam suku kata praakhir dilemahkan dan dileburkan. Oleh itu, rangkaian konsonan yang dihasilkan kemudian wujud sebagai konsonan panjang. Maknanya, KVKVKV (K)→KKVKV (K)→KKVKV (K)→K : VKV (K). Data di bawah ini merupakan contoh daripada maklumat Sebemban :
                                                Erti                 Sebemban
                                                lelaki              l : akɨy
                                                kedidi            d : idiɁ
            Rumus fonologi ini berhubungan dengan sebahagian rumus morfologi yang menghasilkan kata berimbuhan dan juga kata majmuk. Misalnya :
                                                Erti                 Sebemban
                                                bermain          m : ain
                                                berdiri                        d : iɣiy
            Terdapat beberapa ciri lain yang perlu diteliti lagi dalam data yang dikumpulkan tetapi belum dianalisis sepenuhnya. Misalnya, dalam data Serembang, terdapat pasangan berikut :
            tetaɁ                ‘ketawa’                     taɳis                ‘menangis’
            pətətaɁ                        ‘mengapa ketawa      pətaɳis            ‘mengapa menangis’
            Pengkaji mendapati bahawa terdapat banyak lagi aspek percakapan di Sungai Saribas yang wajar diteliti. Aspek fonologi lain juga masih belum disoroti seperti disimilasi sporadik yang terjadi dalam beberapa varian seperti yang berikut :
            Serembang /g/→[ɣ] (berdekatan bunyi bercirikan grava
                        [ɣigɨy] ‘gigi’, [ɣusiɁ] ‘gusi’
            Tanjung Asam /s/→[t] (berdekatan /s/ lain)
                        [tusuw] ‘susu’, [tosoh] ‘taji’
            Selain itu, aspek morfologi yang menonjol dan perlu penelitian yang lanjut ialah wujudnya partikel irealis yang sudah dikesan dalam beberapa varian Melayu lain di Pulau Borneo. Partikel yang dimaksudkan muncul dalam ayat Serembang yang berikut [ɳgaɁaɁ] ‘Tidak mahu pun!’. Dalam ayat ini, [aɁ] berfungsi sebagai partikel penegas dalam ayat aktif.

            Ilmu sosiolinguistik telah berkembang hampir 40 tahun sejak kajian lapangan Labov. Perkembangan itu berbentuk diversifikasi pendekatan dan juga peluasan cakupan ilmu sosiolinguistik. Berdasarkan tinjauan yang dilakukan, istilah sosiolinguistik merujuk kepada ciri=ciri pelaku sosial dalam hubung kaitnya dengan bahasa. Oleh itu, penulisan ini berdasarkan kepada pandangan Gumperz dan Hymes (1988) yang berwawasan etnografi komunikasi. Antara kebanyakan topik, hanya bidang multilingualisme dan pertembungan dialek sahaja yang disentuh. Di Sarawak, terdapat sekurang-kurangnya 25 hingga 30 bahasa dan daripada jumlah besar itu, hanya empat yang dianggap sebagai bahasa utama. Bahasa Inggeris masih memainkan peranan penting di Sarawak. Namun begitu, berdasarkan jumlah penutur, bahasa Iban merupakan bahasa yang paling ramai penutur utamanya dan boleh dikatakan sebagai bahasa ibunda. Golongan kedua terbesar ialah kamu Cina, tetapi ia terbahagi kepada beberapa kelompok bahasa iaitu bahasa Hokciu (34%) dan bahasa Khek (32%) yang menjadi dominan di kalangan kaum Cina Sarawak. Bahasa yang ketiga besar ialah bahasa Melayu. Walaubagaimanapun, bahasa Melayu telah menjadi bahasa utama di Sarawak kerana kedudukannya dalam sistem pendidikan dan pemerintahan serta penggunaannya yang meluas dalam urusan agama Islam dan Kristian.

            Namun, masyarakat sarawak di sekitar Sungai Saribas tidak mencerminkan situasi kebahasaan di Sarawak. Hal ini kerana, ia terletak di kawasan luar bandar. Oleh itu, peranan bahasa Inggeris sangat minimun. Selain itu, jumlah orang Cina yang menetap di kawasan kajian adalah sedikit seperti di Meludam. Penduduk di situ seramai 4000 orang tetapi hanya 2% dari kalangan orang Cina. Maka, walaupun Sarawak merupakan negeri yang multilingual, di kawasan kajian Saribas hanya dua bahasa yang memainkan peranan penting iaitu bahasa Melayu dan bahasa Iban.  Walaupun tidak banyak, kampung (rumah panjang) Iban tersebar sehingga di kawasan muara Sungai Saribas seperti di Meludam. Kampung Melayu pula lebih terbatas sebarannya kerana hanya petempatan Iban yang terdapat di kawasan perhuluan sungai.
            Faktor geografi dan budaya memberi kesan kepada penggunaan bahasa. Kebanyakan orang di sepanjang Sungai Saribas mengetahui dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Iban. Di kawasan muara, orang Melayu hanya mengetahui sedikit bahasa Iban dan di hulu sungai, pengetahuna bahasa Melayu sedikit terbatas. Semasa mencatat kosa kata Melayu satu persatu, informan Debak dan Serembang sering memberikan maklumat Iban juga. Sebagai contoh, apabila ditanya tentang istilah Melayu untuk ‘teman’, informan Serembang mengatakan ‘bat’ atau [ba : t] tetapi dalam bahasa Iban ‘wat’. Terdapat juga maklumat diperolehi berdasarkan pengakuan dan ceritan informan. Kebanyakan daripada mereka memberitahu bahawa mereka dapat berbahasa Iban dan ada yang tidak hanya akan menambahkan ralat. Terdapat informan yang menceritakan kisah semasa kecil di kampung. Sebagai contoh, kata informan Serembang, semasa dia baru balik rumah dari main bola ramai-ramai di padang sekolah dengan kawan-kawan Melayu dan Iban, anak-anak Melayu ini terus masuk dapur dan berceloteh dengan emaknya-masih dalam bahasa Iban. Mereka kemudian ditegur dengan tegas oleh emak mereka bahawa tidak boleh berbahasa Iban di dapur. Hal ini bukan kerana emak mereka tidak faham bahasa Iban, malahan fasih berbahasa Iban. Namun begitu, mereka  beranggapan bahawa bahasa Melayu yang mesti digunakan dengan orang tua, apatah lagi di dapur. 

            Bukan sahaja sebahagian informan Melayu dapat berbahasa Melayu dan Iban, tetapi sikap penutur Melayu terhadap bahasa Iban sangat positif. Misalnya, di Bintangor, Sungai Rejang, paa informan yang kebanyakannya lelaki yang sudah berumur 50 tahun ke atas memberitahu bahawa lebih kurang 80 % penduduk Melayu di Bintangor dapat berbahasa Iban. Tambahan lagi, secara spontan, mereka berpendapat bahawa bahasa Iban sangat halus dan memiliki kosa kata yang lebih kaya daripada bahasa Melayu. Selain itu, mereka memberikan taklimat yang terperinci tentang leksikon Iban yang berhubungan dengan jamuan dan ritual. Sememangnya bahasa Iban menduduki tempat khas dalam hierarki bahasa di Sungai Saribas dan Sungai Rejang, walaupun di hilir. Sebahagian besar penutur Melayu Saribas turut menguasai dialek Melayu Sarawak (Kuching). mereka juga boleh bercakap dalam bahasa Melayu wahana (Melayu pasar) dan jumlah orang yang mampu menuturkan bahasa Melayu agak ramai. Misalnya, di pekan Meludam, varian Melayu lain jarang didengari kecuali sekali-sekala di pejabat kerajaan kerana pegawai kerajaa bukan penduduk setempat.
            Pengkaji juga mendapati terdapat percampuran varian akibat daripada pertembungan dengan pelbagai varian. Misalnya, dalam beberapa rakaman, terdapat kerancuan varian dengan jelas, terutamanya antara varian Saribas dengan bahasa Melayu. Seorang informan tua di Meludam bercerita dalam varian Saribas semasa dirakam di rumahnya dengan pertolongan pembantu penelitian setempat. Namun begitu, apabila informan itu menyanyi dan berpantun, sebutan dan kosa kata bahasa Melayu dikesan. Pengkaji mengajukan hal ini kepada informan yang lain dan mereka berpendapat bahawa ia bukanlah kerancuan varian tetapi hanyalah ragam sastera lisan Meludam yang biasa dan kebetulan sama dengan bahasa Melayu. Di Bintangor, didapati bahawa terdapat beberapa contoh kembar dalam variannya. Istilah kata kembar di sini merujuk kepada kewujudan dua kata yang datang dari sumber yang sama tetapi disalurkan melalui dua sumber sekunder yang berbeza. Misalnya, kata air muncul dalam dua bentuk dengan dua makna. Ia diungkapkan oleh informan dengan sebutan yang lain di Bintangor iaitu [aeᵊ] yang bermaksud ‘air masak’ manakala di Kuching sebutannya ialah [aiɁ] yang bermaksud ‘air yang belum masak’. Oleh itu, kedua-dua keadaan ini wujud dengan takrif dan fungsi adjektif masing-masing. Dalam korpus yang dikumpulkan di Sungai Saribas dan Sungai Rejang, terdapat tanda dan pengaruh pelbagai dialek dan varian Melayu sama ada dalam bentuk kosa kata atau perbualan. Ternyata bahawa penguasaan kod secara berindeks sesuai dengan orang yang disapa atau diajak bercakap dan juga secara pragmatik yang melibatkan pertukaran kod terutamanya antara varian Saribas dengan dialek Sarawak (Kuching). Misalnya, peneliti yang berasal dari Kuching selalu disapa dan diajak bercakap dalam dialek Sarawak Kuching sahaja, manakala peneliti asing yang tidak menguasai dialek sarawak harus berhadapan dengan pertukaran antara varian Saribas, dialek Sarawak dan bahasa Melayu. Fenomena ini dan banyak aspek sosiolinguistik lain perlu penelitian yang lanjut.
            
 Kesimpulannya, berdasarkan artikel yang dtulis oleh James T. Collin ini, saya mendapati bahawa betapa pentingnya untuk mengkaji dialek-dialek Melayu termasuklah di kawasan atau daerah kecil. Hal ini demikian kerana, kajian yang dilakukan terhadap daerah-daerah kecil ini dapat membantu kita dalam mengenali dengan lebih mendalam tentang dialek yang digunakan oleh masyarakat Melayu. Selain itu, kita dapat mengetahui keunikan dan saling hubungan antara dialek-dialek tersebut. Tambahan lagi, masyarakat Melayu pada masa kini kurang memahami tentang kepentingan kajian dialek terhadap sesebuah negara dan sesuatu bahasa. Hakikatnya, sesuatu bahasa biasanya mempunyai sejarah perkembangan yang luas dan ia mempunyai banyak kaitan antara satu sama lain. Malah, sesuatu bahasa itu telah berkembang dengan luas sekiranya kita membuat kajian yang lebih terperinci terhadap dialek-dialeknya.

Pendapat Nik safiah tentang kata "adalah" (SINTAKSIS)

            Kami juga telah meneliti pendapat yang diutarakan oleh Nik Safiah Karim tentang kata adalah. Nik Safiah Karim mempunyai pendapat yang berbeza tentang kata adalah yang bertentangan dengan pendapat Asmah Haji Omar. Beliau mengatakan bahawa kata adalah merupakan Kata Pemeri dan bukannya Kata Kopula. Menurut Nik Safiah Karim, Kata Pemeri berfungsi sebagai kata yang memisahkan atau menghuraikan hubungan antara subjek dan predikat dalam ayat.

            Memandangkan kebanyakan ayat dalam Bahasa Melayu tidak memerlukan kata kerja, kebanyakan pengguna telah menyalahgunakan perkataan adalah sebagai penterjemahan kepada kata kerja Bahasa Inggeris yang mana penggunaan kata kerja tersebut tidak sesuai digunakan dalam Bahasa Melayu. Ayat yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu tidak memerlukan perkataan adalah kerana struktur ayat yang digunakan ialah Kata Nama diikuti Kata Nama dan Kata Nama diikuti Kata Adjektif dan ia dapat dilihat dalam contoh ayat yang berikut iaitu The architect of the science center is En. Lim manakala ayat yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu tidak mempunyai perkataan adalah iaitu Arkitek pusat sains itu En.  Lim.  Oleh yang demikian, kami akan mengupas dengan lebih lanjut tentang kedudukan kata adalah menurut Nik Safiah dalam ayat Bahasa Melayu.

            Pertama sekali, perkara utama yang ditegaskan oleh Nik Safiah ialah kata adalah tidak sama seperti ‘verb to be’ dalam Bahasa Inggeris. Malahan, ia tidak sesuai digunakan dalam ayat dia atas. Nik Safiah turut mengingatkan kita bahawa semua ayat dalam Bahasa Melayu memerlukan Kata Kerja dalam predikat. Bahagian lain dalam pertuturan seperti Kata Nama, Kata Adjektif, dan Kata Preposisi boleh berfungsi sebagai item di dalam predikat. Ini sangat penting untuk membezakan antara Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Beliau mengatakan bahawa kita tidak boleh mencampuradukkannya dalam penggunaan ayat Bahasa Melayu. Ayat yang berikut menunjukkan penggunaan kata adalah yang telah dipengaruhi oleh Bahasa Inggeris iaitu The amount of savings by the Malaysian public is tremendous dan ayatnya dalam Bahasa Melayu ialah Jumlah wang simpanan oleh rakyat Malaysia adalah amat besar. Ayat yang berikut boleh didirikan tanpa menggunakan kata adalah seperti Jumlah wang simpanan oleh rakyat Malaysia amat besar. Namun begitu, ini tidaklah bermakna yang kata adalah tidak berfungsi langsung. Malahan, contohnya dapat dilihat dalam situasi berikut iaitu di dalam ayat yang mana predikat menerangkan subjeknya. Dalam hal ini, kata adalah digunakan dan struktur ayat yang digunakan ialah Kata Nama diikuti Kata Adjektif dan kata Nama diikuti Kata Preposisi. Ayat yang menerangkan struktur KN+KA ialah Taklimat tentang projek perladangan itu adalah terlalu pendek, manakala ayat yang menerangkan struktur KN+KP ialah Hadiah yang disumbangkan oleh bank itu adalah untuk mangsa banjir.

            Selain itu, Nik Safiah turut mengatakan bahawa terdapat beberapa penggunaan kata adalah yang tidak sesuai dalam Bahasa Melayu iaitu kata adalah tersebut seharusnya digantikan dengan kata hubung atau digugurkan. Penyataan ini dapat dikukuhkan dengan contoh berikut iaitu Adalah diberitahu bahawa bangunan ini akan diruntuhkan tidak lama lagi. Ayat tersebut ternyata tidak gramatis dan kata adalah tersebut seharusnya digantikan dengan frasa atau perkataan lain seperti dengan ini tuan-tuan dan puan-puan, dengan hormatnya, dan anda.

Kata Pemeri merupakan Kata Tugas yang tidak boleh berdiri sendiri. Beliau mengatakan bahawa kata adalah digunakan untuk pemerihalan secara huraian atau kualitatif. Kata adalah biasanya hadir di hadapan Kata Sifat dan Kelompok Kata Sendi Nama. Kata Pemeri biasanya hadir di dalam struktur ayat KN+KA (Kata Nama+Kata Adjektif) dan KN+KP (Kata Nama+Kata Preposisi). Penggunaan kata adalah dalam struktur ayat KN+KA dapat dilihat dalam contoh tersebut iaitu Dunia ini adalah fana manakala contoh bagi struktur ayat KN+KP dapat dilihat dalam contoh tersebut iaitu Hadiah yang disumbangkan oleh bank itu adalah untuk mangsa banjir.