Wednesday, May 11, 2011

Teori Nahu Transformasi Generatif

           Teori nahu Transformasi Generatif (TG) mula diperkenalkan dalam bidang linguistik dalam tahun 1957 oleh pelopornya Noam Chomsky melalui buku beliau yang bertajuk ‘Syntactic Structure’. Lapan tahun kemudian terbit pula sebuah buku yang bertajuk ‘Aspects of the Theory of Syntac’ – buku yang telah menerangkan nahu transformasi ini dengan lebih eksplisit dan dan formal. Menurut Chomsky, nahu terdiri daripada seberkas rumus untuk menghasilkan ayat yang tidak terhad jumlahnya dalam teori standard transformasi generatif seperti yang terdapat dalam buku ‘Aspects of the Theory of Syntac’ . Berasaskan teori ini, nahu dibahagikan kepada tiga komponen iaitu 

      (i)            semantik (ii) sintaksis (iii) fonologi.

         Sebelum wujudnya teori  TG, aliran linguistik yang mendapat  perhatian (terutamanya di US) ialah aliran struktural. Ahli-ahli bahasa aliran ini mengkaji bahasa secara manganalisis data bahasa yang diperoleh daripada penutur asli (native speakers). Bahasa dianggap satu keseluruhan yang boleh dipecah-pecahkan menjadi unit yang lebih kecil. Analisis bahasa biasanya dimulai daripada unit yang terkecil iaitu fonem menuju kepada unit yang lebih besar iaitu ayat. Setelah membahagikan korpus bahasa kepada unit-unit yang lebih kecil tugas ahli bahasa ialah mencari sistem atau pola disebalik unit-unit kecil itu. Mereka sangat ghairah mencari pasangan minima, bunyi-bunyi bahasa yang saling melengkapi ,  varian atau bunyi-bunyi yang bervariasi bebas. Chomsky menamakan kajian ini kajian taksonomi dan menganggap kajian seperti ini bersifat sains pengelasan.

        Berbeza dengan aliran struktural ini, penganut nahu TG menganggap fonologi atau struktur bunyi sesuatu bahasa itu sebagai satu sistem rumus yang mencerminkan kecekapan fonologi penutur natif yang ideal. Fonologi TG tidak mementingkan sangat perbezaan bunyi yang distingtif atau perbezaan permukaan. Tujuan utamanya ialah memformulasasikan kecekapan fonologi instrinsik seseorang penutur sebagai satu sistem rumus yang bertanggungjawab melahirkan representasi fonetik daripada struktur permukaan sintaksis.

        Tentang representasi fonetik ini, ahli-ahli fonologi generatif telah mengenalpasti perbezaan dasar dari segi linguistik mengenai dua maklumat fonetik iaitu ‘sebahagian daripada realisasi fonetik sesuatu morfem itu bersifat idiosinkratik dan sebahagiannya pula bersifat regular sistematis dalam struktur bunyi sesuatu bahasa itu’.
         Untuk membezakan dua ciri fonetik ini ahli-ahli fonologi generatif mengemukakan dua jenis alat yang dikenali sebagai ‘senarai’ dan ‘rumus’. Kesemua ciri idiosinkratik tentang penyebutan sesuatu morfem itu disenaraikan dalam representasi leksikal di dalam leksikon.

        Manakala  ciri-ciri regular yang sistematis dikendalikan oleh rumus-rumus fonologi dalam komponen fonologi. Sehubungan ini, komponen fonologi mempunyai dua peringkat representasi iaitu  -‘representasi dalaman’ (yang mengandungi semua maklumat idiosinkratik tentang penyebutan sesuatu morfem dalam  ujaran
-’representasi permukaan’ (yang mempunyai maklumat  idiosinkratik  dan maklumat yang boleh diramalkan iaitu yang bersifat regular sistematis)

       representasi dalaman               -       /  /
       representasi permukaan           -       [   ]

        Peranan rumus-rumus fonologi dalam komponen fonologi ialah untuk  memerihalkan pertukaran bentuk dasar dalam representsi dalaman ke bentuk  fonetik dalam representasi permukaan. 

        Dalam fonologi TG, huraian fonologi pada tahap fonemik dan  fonetik serta pernyertaan rumus-rumus yang menghasilkan representasi fonetik daripada representasi fonemik dilakukan dengan menggunakan fitur-fitur distingtif. Dengan ini bermakna fonem  tidak lagi dianggap sebagai  unit dasar (terkecil)  dan tempatnya diambil-alih oleh fitur distingtif.

        Satu konsep penting  berkaitan fitur distingtif ialah konsep ‘kelas natural’. Satu kumpulan segmen membentuk satu kelas natural sekiranya segmen-segmen itu dapat dinyatakan dengan menggunakan fitur-fitur yang sedikit  (kurang)  jika dibandingkan dengan fitur-fitur yang diperlukan untuk menyatakan mana-mana segmen dalam kelas itu secara individu. Konsep kelas natural  ini  penting dalam TG kerana biasanya proses-proses fonologi bertindak terhadap segmen-segmen dalam satu-satu kelas natural dan bukannya secara segmen-segmen dalam bentuk individu.

        Konsep kelas natural ini digunakan dengan meluas untuk pernyataan rumus-rumus fonologi TG. Salah satu matlamat dasar fonologi TG ialah menyatakan proses-proses fonologi yang mengubah representasi dalaman dalam bentuk rumus-rumus. Apabila terdapat  proses-proses fonologi maka segmen-segmen tertentu akan mengalami perubahan. 

        Rumus-rumus  fonologi hendaklah menggambarkan tiga perkara asas ini
      (i)            Segmen manakah yang berubah
    (ii)            Apakah perubahan yang berlaku
   (iii)            Apakah keadaan atau lingkungan yang menyebabkan perubahan itu berlaku
  (iv)                    Fonologi TG mempunyai sistem notasi yang khusus untuk menyatakan proses-proses fonologi dan pernyataan rumus-rumus secara konsisten amat diutamakan. Perubahan daripada representasi dalaman kepada representasi permukaan bukanlah melalui satu proses fonologi atau satu rumus sahaja. Biasanya beberapa rumus bertindak untuk mengubah sesuatu representasi fonemik menjadi representasi fonetik. Setiap rumus hanya bertindak ke atas segmen-segmen tertentu sahaja dan membiarkan segmen-segmen yang lain untuk tindakan rumus-rumus yang lain.
    (v)            (Satu persoalan yang hangat diperdebatkan oleh ahli-ahli fonologi generatif ialah perlaksanaan aturan rumus-rumus fonologi fonlogi itu. Adakah rumus-rumus diaplikasikan mengikut aturan yang tetap dan teratur ataupun secara serentak.)
  (vi)                    Teori Standard Fonologi TG mengusulkan bahawa rumus-rumus dilaksanakan mengikut aturan iaitu satu rumus harus mendahului rumus yang lain. Berdasarkan data-data bahasa yang berlainan, ahli-ahli fonologi generatif telah mengemukakan pelbagai pandangan tentang persoalan ini. Sesetengah perlaksanaan rumus dikatakan perlu diatur secara terikat  iaitu rumus-rumus itu disusun mengikut aturan tertentu supaya output daripada rumus menjadi input kepada rumus yang lain. Namun, ada juga rumus yang dikatakan tidak terikat.
 (vii)                    Rumus-rumus lain pula bersifat serentak perlaksanaannya. Apabila morfem digabungkan untuk membentuk kata-kata terbitan, segmen daripada morfem yang digabungkan itu terletak di sisi antara satu sama lain. Kadang-kadang segmen itu mengalami perubahan. Perubahan-perubahan juga boleh berlaku pada lingkungan-lingkungan selain daripada lingkungan kedua-dua morfem yang bergabung tersebut, misalnya pada awal kata dan akhir kata. Ia juga boleh berlaku akibat penggabungan morfem. Semua perubahan seperti ini dikenali sebagai ‘proses fonologi’

No comments:

Post a Comment