Friday, May 6, 2011

Penulisan Bahasa Melayu-Darwis Harahap

3.1 PENGENALAN
ada zaman awal kehidupan masyarakat Melayu, mereka belum memiliki kemahiran menulis. Semua perhubungan dilakukan dengan cara lisan. Pada waktu itu juga mereka masih menganuti fahaman animisme. Oleh kerana mereka percaya bahawa hantu, jin, jembalang, atau penunggu; maka sesuatu benda yang besar seperti pokok besar, bukit besar, atau apa sahaja benda yang mengagumkan akan mereka sembah. Pada masa inilah kedudukan pawang sangat dihormati.

Pawang, yang pada mulanya mendapat ilmu pengetahuan secara semula jadi itu menjadi tempat bertanya bagi menyelesaikan semua kemusykilan dan meminta ubat bagi orang yang sakit. Bagi keperluan ini, Pawang menggunakan mantera, jampi, atau kata-kata hikmat yang lain dengan bahasa yang teratur, indah, dan berkesan.

Pawang ini kemudian menurunkan ilmunya kepada orang yang paling dipercayainya. Penurunan ilmu ini adalah dengan cara hafaz dan amalan. Biasanya tidak semua ilmu yang dimiliki oleh pawang itu akan diturunkannya kepada muridnya dan ada pula murid yang mahu belajar secara khusus sahaja sehingga timbullah datu (orang yang pandai mengubati orang sakit), dukun (orang yang pandai membuat orang sihat menjadi sakit), dalang (orang yang pandai bercerita), dan kemahiran lainnya.

Di antara kemahiran yang disebutkan di atas, dalang atau pencerita menjadi orang yang terkenal. Ia bebas mengembara ke mana-mana menyebarkan ceritanya. Masyarakat waktu itu memberi layanan yang istimewa kepada pencerita. Di mana sahaja pencerita berada, orang kampung akan berduyun-duyun mendengar cerita yang biasanya berbentuk penglipur lara. Ia kemudian dikenali sebagai pelipur lara.

Pelipur lara yang terkenal bijak ini bukan sahaja menyampaikan ceritanya apabila sampai di sesuatu tempat. Sekali-sekala ia cuba juga menduga kepintaran orang di situ melalui teka-teki. "Satu di antara jenis hasil sastera Melayu yang terawal dan dipercayai terbitnya pada zaman orang Melayu belum memiliki kemahiran menulis, ialah teka-teki. Salah satu teka-teki yang terkenal ialah:

Gendang gendut tali kecapi
Kenyang perut senanglah hati
Di antara cerita yang paling disukai oleh masyarakat pada masa itu ialah cerita tentang haiwan. Hal ini berkait rapat dengan kehidupan masyarakat yang suka berburu. Para pencerita pula akhirnya memanfaatkan cerita haiwan ini sebagai alat untuk menyampaikan pengajaran. Dengan kehalusan budi dan bahasanya si pencerita mengisahkan kehidupan haiwan untuk menceritakan hidup dan kehidupan manusia yang sebenarnya. Cara ini sangat berkesan. Orang yang kena sindir tidak marah dan orang lain mendapat teladan. Salah satu cerita yang paling digemari ialah cerita Sang Kancil.

Berkurun-kurun kemudian, pengalaman masyarakat Melayu semakin bertambah. Para cerdik pandainya cuba memikirkan cara untuk merakamkan bahasa mereka. Pengalaman dan pengetahuan mereka tentang alam cukup luas. Oleh yang demikian, mereka mulai menulis dengan meniru cabang, ranting, potongan kayu, dan bentuk sungai. Lama-kelamaan terbentuklah tulisan yang kemudian dinamai sebagai Tulisan Rencong.

Orang Melayu ketika itu menuliskan tulisannya pada kulit kayu, kulit binatang, batang buluh, atau daun lontar. Oleh yang demikian, ia tidak dapat bertahan lama kerana lama-kelamaan bendanya reput, hancur, atau tulisannya hilang. Bagaimanapun, huruf asli Melayu ini diperkirakan lebih awal daripada huruf Kawi dan huruf Wenggi yang ditemui di Nusantara ini terutama di Pulau Jawa.

Orang Melayu yang sejak awal memang sebagai pelaut ulung, telah sampai ke mana-mana. Begitu juga dengan Si Pelipur Lara. Ia telah mendengar cerita yang dibawa oleh penyebar kepercayaan Hindu ke Nusantara ini. Ia pun melengkapkan ceritanya dengan cerita Hindu ini dengan mengubahsuaikan cerita asalnya menjadi corak tempatan. Dengan demikian, semakin berkembanglah kesusasteraan Melayu berbentuk lisan tersebut.

3.2 KESUSASTERAAN HINDU
Kedatangan saudagar dan mubaligh Hindu ke Nusantara ini terutama bertapak di Pulau Jawa. Para mubaligh tersebut memperkenalkan karya Mahabrata dan Ramayana kepada masyarakat tempatan. Karya Vyasa dan Valmiki pujangga India yang terkenal ini menarik perhatian pujangga istana di Jawa dan mereka menyalin bahagian yang mereka sukai.

Semasa Kerajaan Mataram di Jawa Tengah sedang jayanya, pujangga istana memang memiliki kedudukan yang istimewa. Mereka berpendapat bahawa peranan pujangga sama pentingnya dengan peranan mubaligh malahan mereka dapati melalui susastera penyebaran ilmu agama itu lebih berkesan dan mudah diterima oleh masyarakat. Sekitar tahun 925 M, iaitu semasa kejayaan Kerajaan Mataram, pujangga Yogiswara telah menyalin Ramayana ke dalam bahasa Jawa Kuno (tulisan Kawi). Semasa pemerintahan Raja Dharmawangsa (985-1006 M) pula, dilakukan penyalinan Mahabrata dan pada abad ke-11 disalin lagi dan diberi tajuk baru, iaitu Astadasaparwa.

3.3 KESUSASTERAAN JAWA
Perkenalan pujangga istana dengan sastera Hindu ini telah melahirkan minat pujangga lain untuk menulis sendiri karya sasteranya. Semasa pemerintahan Airlangga, seorang pujangga bernama Mpu Kanwa mengarang syair (kekawin) yang diberinya nama Arjuna Wiwaha (sekitar tahun 1030 M). Mpu Sedah dan Mpu Panuluh pula menulis Bharatayudha sekitar tahun 1157 M. Dalam abad ke-12, lahirlah buku Smaradhana karya Mpu Dharmajaya dan buku Arjuna Wijaya karya Mpu Tantular.

Apabila Kerajaan Majapahit memperluas kekuasaannya hampir di seluruh Kepulauan Melayu termasuk Thailand, mereka cuba mempengaruhi masyarakat dengan memperkenalkan Cerita Panji, iaitu kisah keagungan Raja Majapahit. Cerita ini tidak dapat diterima oleh masyarakat terutama di luar Pulau Jawa kerana ia menggunakan bahasa Jawa Kuno. Para dalang yang mempersembahkan cerita ini melalui Wayang Gedok (wayang orang yang menggunakan topeng) mencari jalan lain. Sebelum mereka mempersembahkan Cerita Panji terlebih dahulu mereka belajar bahasa Melayu. Persembahan Wayang Gedok terutama di Sumatera kemudiannya menggunakan bahasa Melayu bercampur dengan bahasa Jawa. Secara langsung para dalang ini telah mengangkat bahasa Melayu dan lama-kelamaan beberapa perkataan bahasa Jawa yang sesuai diserap ke dalam bahasa Melayu. Cerita Panji telah mempengaruhi kesusasteraan dan bahasa Melayu sekitar tahun 1240 M.

Di antara Cerita Panji yang terkenal ialah: Hikayat Raja Kahuripan, Hikayat Mesa Taman Panji Wila Kesuma, Hikayat Mesa Kumitar, Hikayat Carang Kolina, Hikayat Rangga Rari, Hikayat Cekel Weneng Pati, Hikayat Prabu Jaya, Hikayat Kuda Semirang, dan Hikayat Panji Semirang. Di samping hikayat, kesusasteraan Jawa yang diperkenalkan kepada masyarakat Melayu di antara lain, ialah Syair Ken Tambuhan, Syair Lelakon Mesa Kumitar, Syair Undakan Agung Udaya, dan Syair Panji Semirang.

Sebagai gambaran, perhatikan contoh Cerita Panji yang dipetik daripada Hikayat Cekel Weneng Pati yang berikut ini:

Bahawa ini cerita orang dahulu kala dari pada bahasa Melayu dan Jawa, diceritakan oleh dalang dan bujangga yang parama kawi di tanah Jawa, dipindahkan dengan bahasa Melayu, maka akan jadi penghibur rasa yang dendam dilelakonkan. Dalam itupun masygul di mana 'kan hilang? Dendam pun tiada berbilang! Akan perinya juga pendalang katakan akan pemadam hati yang berahi; maka dalang panjangkan lelakon ini supaya menjadi tembang lanjut dan kidung dan kekawin segala yang arif bijaksana dari pada menyatakan 'asyikan dalam kalbu: hendak pun dikeluarkannya yang ada dalam hatinya itu tiada 'kan datang kebajikan kepadanya; oleh karena itulah maka dikarang hikayat ini bernama Cekel Weneng Pati ...."
Bahasa yang terlihat dalam kutipan di atas tidak dapat digunakan sebagai pedoman bahasa yang digunakan pada zaman mula-mula Cerita Panji diciptakan kerana para dalang mengubahsuaikan bahasanya sesuai dengan perkembangan bahasa yang diketahuinya. Menurut Baharuddin Zainal, naskhah Cerita Panji baru ditemui pada abad ke-15. Walau bagaimanapun, pernyataan yang mengatakan ia "berasal daripada bahasa Jawa dan ditukar ke dalam bahasa Melayu" penting untuk diketahui. Lagi pula, kutipan ini jelas memperlihatkan kepada kita bagaimana perkataan bahasa Jawa itu diserap menjadi bahasa Melayu.
3.4 KESUSASTERAAN ARAB
Seiringan dengan penyebaran kesusasteraan Hindu dan Jawa, kesusasteraan Arab juga turut berkembang di alam Melayu. Ini tidaklah menghairankan kerana orang Arab sudah sejak awal sampai di Kepulauan Melayu. Sejarah China mencatatkan bahawa pada tahun 977 M, seorang utusan yang beragama Islam bernama Pu Ali (Abu Ali) telah mengunjungi negeri China yang datang dari Poni, iaitu sebuah negeri di alam Melayu.

Pada mulanya, cerita Hindu yang sudah sedia ada dalam pengetahuan masyarakat Melayu dimasukkan unsur Islam. Dengan demikian, para pendengar mudah menerima pengetahuan Islam tersebut. Lama-kelamaan lahir pula cerita nabi, para sahabat, dan pahlawan Islam lainnya. Semuanya disampaikan secara lisan semasa menyebarkan agama. Naskhah bertulis berkenaan dengan kesusasteraan Islam baru ditemui pada abad ke-15 walaupun kesusasteraan Islam telah masuk ke alam Melayu jauh sebelum itu. Bahkan, istilah hikayat yang digunakan dalam kesusasteraan Hindu dan Jawa diambil daripada istilah bahasa Arab.

Pengaruh bahasa Arab lebih jelas lagi dapat dilihat pada Batu Nisan Malik al-Saleh. Batu Nisan ini dipercayai dibawa dari negeri Kembayat (Kambodia). Tulisan yang terdapat pada batu nisan tersebut keseluruhannya menggunakan bahasa Arab. Isinya di antara lain menyatakan tarikh wafat Sultan Malik al-Saleh (Raja Pasai yang pertama memeluk agama Islam), iaitu bersamaan dengan tahun 1297 M. Ini bukanlah bermakna bahawa Batu Nisan Malik al-Saleh merupakan bukti pertama orang Nusantara ini memeluk Islam kerana di Leran, Gresik, Pulau Jawa terdapat batu nisan seorang wanita Islam bernama Fatimah bt. Maimun bertarikh 1082 M.

Jika di Pulau Sumatera dan Pulau Jawa ditemui batu nisan orang Islam, di Tanah Semenanjung atau tepatnya di Sungai Teresat, Kuala Berang di negeri Terengganu ditemui pula batu bersurat yang dinamai Batu Bersurat Kuala Berang bertarikh 1303 M. Batu bersurat ini ditulis dengan huruf Jawi. Tulisan Jawi ini mengambil huruf Arab dan menambah beberapa huruf lain sebagai melengkapi bunyi Melayu yang tidak terdapat dalam bahasa Arab.
Batu Bersurat Kuala Berang di atas ditulis pada empat bahagian. Perhatikan bahasa yang tertulis pada salah satu bahagian batu tersebut (setelah ditransliterasikan):

RasuluLlah dengan yang orang sahabi mereka (sekalian).
Asa pada Dewata Mulia Raya memberi hamba meneguhkan agama Islam.
Dengan benar bicara, derma mereka bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya.
Di benuaku ini pembantu agama RasuluLlah SallaLlahu alaihi wasallam raja mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya di dalam bumi pebantu itu fardhu pada sekalian raja mandalika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar.
Bicara berbajikan betul pebantu itu maka titah Seri Paduka Tuan menduduki tamra ini di benua Terengganu adi pertama ada Jumaat di bulan Rejab di tahun Saratan di sasanakala.
Baginda RasuluLlah telah lalu tujuh ratus dua.

Daripada kutipan di atas terlihat perkataan Dewata Mulia Raya masih digunakan walaupun yang dimaksud ialah Allah SWT. Beberapa perkataan lain, seperti: mandalika (ketua wilayah), berbajikan (kebajikan = kebaikan), tamra (perintah rasmi), dan sasanakala (masa perintah agama) memperlihatkan perkataan Sanskrit sudah semakin berkurang.
Berkenaan dengan aksara Jawi yang merupakan aksara Arab tersebut, aksara Persia telah menambahnya dengan empat huruf atau bunyi, iaitu p, ch, zh, dan g. Aksara Jawi mengambil huruf ch Persia menjadi c dan mengubahsuai g Persia dengan mengguna-kan titik di atas. Bunyi atau huruf p, ng, dan nya merupakan ciptaan bangsa Melayu sendiri. Aksara Jawi ini kemudian dilengkapkan dengan bunyi atau huruf v sejak 1987. Bandingkan aksara Arab, Persia, dan Jawi seperti yang diperlihatkan pada lampiran 3.
Kembali ke Pulau Sumatera, di Aceh ditemui pula sebuah nisan yang dinamai Batu Nisan Minye Tujuh. Batu nisan ini bertarikh 1380 M dan ditulis dengan tulisan India. Namun, bahasa yang digunakan merupakan gabungan bahasa Melayu, bahasa Sanskrit, dan bahasa Arab. Perhatikan transkripsinya seperti yang berikut ini:

hijrat nabi mungstapa yang prasida
tujoh ratus asta puluh sawarsa
haji catur dan dasa wara sukra
raja iman warda (?) rahmat Allah
gutra barubasa mpu hak kadah pasema
taruk tasih tanah samuha
ilahi ya rabbi Tuhan samuha
taruh dalam swarga Tuhan tatuha
Harun Aminurrashid mengutip terjemahan yang diberikan oleh C. Hooykaas tentang Batu Nisan Minye Tujuh di atas, sebagai berikut:
Setelah hijrah Nabi, kekasih yang telah wafat,
tujuh ratus delapan puluh satu tahun,
bulan Zulhijjah empat belas hari, hari Jumaat
raja iman rahmat Allah bagi Baginda (warda)
dari keluarga Barubasa mempunyai hak atas Kedah dan Pasai,
menarok di laut dan darat semesta (semua)
Ya Ilahi, ya Tuhanku semesta,
masuklah Baginda ke dalam syurga Tuhan.
Walaupun tarikh Batu Nisan Minye Tujuh ini terkemudian daripada Batu Bersurat Kuala Berang, ternyata bahasa Melayu pada Batu Bersurat Kuala Berang lebih maju.

No comments:

Post a Comment